THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, September 4, 2011

Moga Allah Menerima Seluruh Amalannya…Tugasannya Sebagai Jihad

Assalamualaikum Salam Satu Ummah buat sahabat sahabiah yang tidak jemu membaca dan terus menanti setiap coretan. Pada 3 September 2011 kita dikejutkan dengan berita Jurukamera BERNAMA terbunuh. Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang semalam waktu tempatan.

Umum mengetahui bahawa misi ini bertujuan menghantar serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan. Namun segalanya telah disusun serta direncana dibawah pengawasan Kerajaan Allah SWT, akhirnya Saudara Faizul menemui ajalnya ketika bertugas. Harapan penulis secara peribadi mengharapkan agar tugasan beliau selama ini dikira sebagai jihad di sisi Allah SWT dan matinya dikira sebagai Mati Syahid. Insyaallah. Ramai juga yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Faizul melalui Laman Sosial penulis, Alhamdulillah sekurang-kurangnya sudah terbit rasa persaudaraan serta rasa terpunya dikalangan Umat Islam. Namun tidak kurang yang mencemuh dan meluahkan kata berdasarkan persepsi serta emosi masing-masing. Apa yang mampu diluah Tepuk Dada Tanya Iman. Walaupun penulis tidak mengenali beliau dengan rapat namun hati ini terus berbisik untuk menitip apa yang terdetik dihati dan benak fikiran ini. Walaupun penulis bukannya wartawan mahupun jurukamera yang bernaung dibawah organisasi media Malaysia, namun hati kecil ini seakan sebak dan menangisi pemergian Allahyarham Faizul. Entah mengapa selepas membaca sekilas lalu tentang pemergian Allahyarham Faizul di Utusan Online penulis berasa seakan yang pergi itu adalah sahabat penulis yang telah lama tidak berutus khabar. Sehingga kini semakin sebak dirasakan, melihat Lintas Langsung menerusi Stesen Televisyen Media Prima penulis terasa akan kehilangan serta merindui kelibat Allahyarham Faizul ketika melaksanakan tugasan yang diberikan.

Apabila disebut tentang misi keamanan, penulis teringat tentang salah satu soalan yang diajukan ketika sesi Ujibakat Solehah di Stesen TV Digital AlHijrah iaitu tentang kaedah terbaik menyeru Rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada Umat Islam di Palestin. Pada masa itu apa yang dapat divisualkan dikotak pemikiran adalah reaksi keluarga penulis yang menyifatkan perbuatan itu adalah sia-sia. Dalam kemelut pemikiran yang menentang arus pemikiran keluarga dan keluar daripada kepompong kejahilan lalu penulis menyatakan kepada panel penemuduga seingat penulis adalah, “Sebagai seorang Muslim sewajarnya kita harus membantu seluruh Ummat Islam yang memerlukan bantuan tidak kira dari aspek kemudahan perubatan, bantuan makanan, semangat serta motivasi, kewangan atau apa kaedah sekalipun bagi meringankan beban mangsa. Jangan kita hanya bangga melaungkan kalimah Ummat Islam Itu Bersaudara namun akhirnya bertemu sepi. Sebagai seorang Muslim selain kita bermuhasabah kembali dengan apa yang kita miliki jangan lupa intai-intai mereka yang memerlukan kita. Sejujurnya kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak tetapi setidaknya kita berusaha melaksanakan sesuatu bagi mendapat Redha Allah dan akhirnya ditempatkan di dalam Syurga bersama Para Pejuang Islam, Insyaallah.” Itu sahaja yang terluah, kerana bagi penulis WANG TIDAK MAMPU MEMBELI NILAIAN UKHUWAH UMMAT ISLAM. Sebaliknya JIHAD FISABILLAH yang dicari oleh setiap jiwa yang FAHAM dan MENGERTI tentang apa yang terkandung disebalik MISI KEMANUSIAAN.

Penulis masih lagi menantikan berita selanjutnya daripada sahabat penulis, Ardi Herman Mohd Mardzi bagi mengetahui berita selanjutnya tentang rentetan peristiwa yang disifatkan sebagai Memoir Seorang Wira bagi penulis. Sejujurnya sehingga detik ini manik jernih mudah sahaja berlinangan mahupun bergenang apabila melihat, membaca atau mendengar perkhabaran tentang Allahyarham Faizul. Pemergian Allahyarham amat dirasai namun apa yang tersirat hanya Allah yang mengetahui. Mengapa Allah meletakkan rasa semacam ini kepada hati penulis, itu juga milik Allah SWT. Namun apa yang mampu diluahkan adalah rasa kagum dengan kecekalan serta hasil kerja yang pernah dihasilkan Allahyarham sehingga tugasan terakhir Allahyarham. Melihat gambar mayat Allahyarham Faizul di dada Akhbar Mingguan Malaysia cukup menyayat hati apabila melihat kesan lubang peluru yang menembusi bahu sebelah kanannya yang akhirnya mengalami masalah pendarahan dalaman yang tidak dapat diselamatkan. Kematian yang bagi penulis tidak mampu ditahan kesakitannya. Namun cukup andai penulis analogikan sebagai seorang Pesakit Asthma, kita akan berasa rimas andai kahak menutup salur penafasan dan akhirnya paru-paru akan mengalami keradangan. Inikan pula apabila peluru yang tidak bermata menembusi bahu seterusnya menyelinap ke kawasan paru-paru, ianya lebih menyakitkan. Mendengar akan perkongsian pengalaman wartawan yang bersama Allahyarham Faizul ketika kejadian ianya menyifatkan bahawa Allahyarham Faizul tetap bertahan melawan kesakitan namun akhirnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buatnya akhirnya Allahyarham Faizul rebah di bahu Jurukamera TV3 dengan wajah yang pucat.

Buat seluruh Warga Media Malaysia pastinya merasakan kehilangan SEBUTIR MUTIARA yang banyak berjasa, menyumbang tenaga, idea, liputan dan sebagainya yang pernah dikongsi bersama akhirnya hanya tinggal memori yang mampu disimpan di dalam kotak fikiran yang pastinya akan disimpan sebaiknya sebagai memori indah bersama. Buat seluruh Ummat Islam marilah kita mendoakan serta menyedekahkan Al-Fatihah agar segalanya dipermudahkan buat Allahyarham Faizul dan mengharapkan agar perginya beliau sebagai Mati Syahid dalam Jihad Fisabilillah untuk mendamba Redha Allah SWT. Buat seluruh Kerabat Allahyarham Faizul, penulis mendoakan agar kalian semua tabah dan diberi kekuatan untuk mengharungi kehidupan, buat Balu Allahyarham segalanya mempunyai hikmah dan penulis mengharapkan agar jangan dipersiakan permata yang ditinggalkan hasil perkongsian hidup kalian kerana mereka adalah permata yang lahir atas dasar kecintaan dan kasih sayang, didiklah mereka menjadi Anak Soleh yang menyumbang kearah Daulah Islamiyyah Insyaallah. Akhirkalam, Al-Fatihah buat Allahyarham Faizul moga beliau tenang bersemadi dan diampunkan segala dosanya oleh Allah SWT.

p/s: Kita yang masih bernyawa ini harus meneruskan perjuangan dalam menyebar-luaskan DAKWAH dengan HIKMAH. Jangan hanya selesa BERKULIAH, BERCERAMAH atau sebagainya hanya di kawasan MASJID. Sebaliknya fikirkan serta laksanakan KAEDAH YANG TERBAIK dalam usaha MENGISLAHKAN mahupun BERDAKWAH dalam membawa JIWA YANG KOSONG menuju MANISNYA IMAN…INSYAALLAH…Diri ini juga memohon pada Allah agar diberikan kekuatan dan dikurniakan teman yang mampu mendukung perjuangan suci ini bersama. “Insyaallah Aku Masih Lagi Menanti Mu Wahai Kekasihku…”

0 ulasan: