THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, June 7, 2012

BICARA IMAN: KELUARGA QUR'ANI

Assalamualaikum Salam Satu Akidah...Satu Ummah, Alhamdulillah dikurniakan kesihatan pada diri ini anda sahabat sahabiah yang saya sayangi bagaimana? Moga diberi kesembuhan oleh Allah SWT dan dapat menjalankan tanggungjawab seperti biasa Insyaallah. Alhamdulillah dikesempatan yang ada Insyaallah penulis cuba berkongsi ilmu yang penulis perolehi daripada program Bicara Iman "Keluarga Qur'ani" yang telah pun dilaksanakan pada 7 Jun 2012 di Auditorium Kompleks Taman Seni Islam bersama Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Tarmizi sebagai Qari Jemputan. Alhamdulillah, walaupun pada perancangan awalnya akan kesana bersama adik-adikku sayang namun Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat mereka...akhirnya keseorangan menuju ke taman-taman syurga. Alhamdulillah perjalanan menuju ke Shah Alam berjalan lancar dan menepati masa yang penulis jangkakan untuk sampai ke sana (mengharapkan penulis masuk sebelum penceramah masuk mengajar...adab berguru kan...kita kena tunggu dan menghormati orang yang nak berkongsi ilmu dengan kita)...Alhamdulillah Allah Makbulkan.

Alhamdulillah ramai yang datang membanjiri majlis ilmu ini, penuh bahu jalan dan tempat letak kereta dengan kenderaan entah dari ceruk mana datangnya (yelah semua nak sertai taman-taman syurgakan). Sehinggakan Uncle Taxi (berbangsa INDIA) yang sudi menghantar penulis ke sana sempat berbual pendek tetapi berbayarlah sebab naik teksi akibat risau terlambat kalau nak berjalan kaki merentas tasik...masjid negeri...dan beberapa landmark berhampiran. Setibanya di jalan utama di antara Masjid Negeri dan Kompleks Taman Seni Islam, 

Uncle Taxi: Aiyooo adik macam mana mau masuk ini tempat, banyak kereta kaloo, berenti tepi ini masjid boleh  ka? Kasi jalan sikit itu dalam wokey? Apa ada ini dalam? Selalu takda punoh ini macam?

Penulis: Takpe uncle berhenti sebelum zebra cross line ni pun boleh, ok je jangan risau. Oh, hari ni ada kelas agama lagipun penceramah tu memang friendly uncle.

Uncle Taxi: Owh itu macam ka adik, wokey2 selamat belajar ha...friendly kalo mesti banyak syok blajar...

Penulis: Ok Uncle, terima kasih hantar saya...

Uncle Taxi: Wokey...wokey no problem

Allahuakhbar tengok ni sebagai contoh, uncle yang beragama hindu itu pun tahu nilai ilmu. Memanglah dia tak doakan dengan mengangkat tangan tapi dengan kata-katanya tadi "Selamat Belajar" maknanya mudah cerita kita boleh simpulkan yang uncle ni tahu tentang peranan ilmu untuk jadi manusia yang cemerlang...tu bangsa INDIA yang kata (yelah walaupun dia taklah buat announcement untuk semua...tapi fahamkanlah ya)..dalam perjalanan yang tinggal beberapa langkah sahaja nak menuju ke Auditorium dengan merentas Kafeteria ada pula seorang makcik ni menyapa (nyaris tak masuk longkang...yelah terperanjat...sebab dalam otak ni duk memikir ustaz dah mai ka belum ni....kalau dah mula rugilah penulis...makcik ni menggelarkan penulis sebagai ustazah (allahhuakhbar jauhnyalah nak menuju ke gelaran ustazah tu banyak yang perlu diperbaiki namun jauh di sudut hati ini berharap agar doa mereka yang selalu menyapa penulis dengan gelaran ustazah menjadi nyata, Insyaallah)),

Makcik: Assalamualaikum Ustazah laju berjalan, nak kemana tu?

Penulis: Waalaikumsalam makcik nak ke auditorium, makcik pun mesti nak ke sanakan? Matlamat kita sama makcik insyaallah nak dengar kuliah Ustaz Don =)

Makcik: Ya Allah Ustaz Don, baru makcik ingat ustaz yang mengajar makcik dalam kuliah ada pesan minggu lepas tapi hari ni makcik baru ingat lepas makcik ternampak iklan tu (sambil membaca banner dan tunjuk pada penulis gambar Ustaz Don =) ) Moh cepat, ni mesti dah penuh ni, kan cuti sekolah.

Penulis: Moh Makcik (perbualan setakat tu sebab masing-masing dan memanjangkan langkah dan mempercepatkan hayunan langkah)

Alhamdulillah sampai di depan auditorium seperti yang dijangkakan memang penuh dan padat sampai ada yang duduk di luar pun ada (bersimpuh depan lif kerana disediakan layar dan skrin) bagi penulis dapat mendengar suaranya dan mendengar kuliahnya sudah memadai daripada terus berebut-rebut dengan mereka yang begitu teruja untuk mengambil gambar dan berbisik-bisik dan bergosip (tentang apa?biarlah penulis simpan sendiri =)) Sebelum memulakan kuliah kami semua di sajikan dengan Alunan Bacaan Al Quran Bertaranum oleh Ustaz Tarmizi...sebak pun ada juga mendengar pesanan-pesanan Allah di dalam Al-Quran walaupun pada masa yang sama ramai lagi yang datang dan "kalut" mencari posisi yang sesuai =)...Selesai bacaan Al-Quran sampailah kita pada perkongsiaan ilmu bersama Ustaz Don (macam biasa Ustaz Don yang penulis kenali adalah seorang yang humble, bersahaja, menyantuni semua yang ada, dalam gelak tawanya terselit mesej dakwah yang santai tapi bermakna pendek kata he deserved it ). Sepanjang kuliah ,ustaz banyak bercerita jadi itu yang banyak membantu pemahaman dan alunan ayat al-quran yang disampaikannya disambung dan adakalanya peserta ikut serta membacanya, sampai ustaz kata, "Uish dahsyat la semua...lagu ni boleh buat konsert ni"..pengisiannya penulis ringkaskan sahaja mengikut kefahaman dan apa yang penulis analisis sendiri. Insyaallah mampu memberikan manfaat kepada semua dan diri ini juga...Allahhumma Ameen...

RINGKASAN BICARA IMAN

"Wahai manusia berimanlah kamu dengan sebenar-benar iman..." makna kata apa? Makna kata kita ni kena hadam bab Akidah, Ibadah, Akhlak yang paling utama Rukun Iman Rukun Islam kena hayati sungguh-sungguh. Ingat tak tentang kisah Nabi Musa, Firaun dan Ahli Sihir? Sebelum tu ni nak habaq mai, Raja zaman dulu-dulu guna ahli sihir untuk menjaga jajahan takluknya supaya apa? Supaya nampak depa ni hebatlah. Ni pakat sambung balik cerita tadi, ahli sihir tu kata tali ni boleh bertukar menjadi ular, kalau nak ikutkan tali ahli sihir tu tetap tali namun setelah di buat silap mata dan mata kita pun tesilap pandang maka nampaklah macam ular. Tetapi apabila Nabi Musa melemparkan tongkatnya memang jadi sungguh ular. Ular tu telan perabih semua yang ada sampai ada dikalangan manusia ketika itu beriman dengan Tuhan Nabi Musa.

Cerita kedua tentang seorang pemuda yang rutinnya akan berulang dari rumah ke istana untuk menuntut ilmu bersama seorang RAHIB dan AHLI SIHIR. Ahli Sihir tu kata kat pemuda ni "RAJA ITU TUHAN" manakala Rahib kata "Tuhan itu memiliki segalanya, tiada siapa yang mampu tandingi kuasa tuhan" jadi nak dipendekkan cerita suatu hari dipertengahan jalan semasa pemuda ini nak menuju dan belajar bersama ahli sihir tu, perjalanannya terhalang oleh seekor binatang buas. Jadi dalam hati pemuda ni terdetik, siapa yang betul ya? lalu hati dia berbisik kalau betullah apa yang diajar oleh Rahib tu maka binatang ni akan mati atau sebaliknya. Dengan izin Allah, maka binatang tu mati dan pemuda ni berkata sungguhlah apa yang diajar oleh rahib itu adalah benar. Lalu setibanya di istana dan berjumpa lah dia dengan ahli sihir tu dia pun tanya apasal kau lambat hari ni?kau menuntut dengan rahib ye?pemuda ini jawab tidak...namun selepas di desak diapun mengaku. Bawaklah pemuda ni jumpa Rahib tu jadi si ahli sihir dan raja ni paksa rahib ni mengaku dengan kekuasaan dan keajaiban mereka namun rahib ni tetap menolak sehingga digergaji dan mati. Selepas itu budak ni ditanya lagi kamu tengok tu guru kamu dah mati la ni nak ikut ajaran kami ka tak mau? pemuda tu jawab tak mau...lalu di ikat dan di tolak di tepi bukit namun dengan kuasa Allah pemuda ini selamat dan kemudian di tolak ke dalam laut juga masih selamat. Akhirnya pemuda ini memberitahu kepada raja dan ahli sihir itu kaedah membunuhnya iaitu dengan menusukkan anak panah kedadanya. Lalu mereka pun buat seperti yang diberitahu maka matilah pemuda itu dan melihat pada kekejaman dan kezaliman ramai dikalagan yang tidak beriman terus beriman dengan Allah. Lihat bertapa besarnya dan agungnya ilmu Allah SWT

Cerita ketiga berkaitan Nabi Ibrahim yang hendak dibakar oleh kaumnya di dalam api yang marak menjulang selama 40 hari 40 malam namun dengan kuasa Allah SWT sedikit pun api itu tidak menjilat tubuh mahupun pakaian Nabi Ibrahim malahan api itu menjadi sejuk. Cerita keempat berkaitan Nabi Muhammad SAW dicabar oleh Abu Lahab untuk membelah bulan namun segalanya mampu dilaksanakan dengan izin Allah dan ilmu yang Allah ilhamkan. Andai dahulu, ramai yang sanggup gugur syahid semata-mata mempertahankan akidah namun kini?

PESAN USTAZ DON

Kajilah apa yang tersirat dan tersurat di dalam Surah An-Nur dan Surah Kahfi sebagai panduan hidup. 

Wallahhua'lam terlebih terkurang ampun maaf...moga bertemu lagi di masa akan datang Insyaallah...Jazakallah

MODE: Al-Quran bukan sekadar hiasan...BACA...FAHAM...TELUSURI MAKNA...KAJI dan APLIKASI di dalam kehidupan (muhasabah untuk kita bersama Insyaallah)







Sunday, June 3, 2012

SIRI 3: EPISOD AKHIR TINTA BICARAKU

Assalamualaikum ini merupakan SIRI ke 3...moga memberikan manfaat kepada semua.


Isu terhangat diperkatakan dalam kalangan generasi muda kini ialah kahwin muda apakah pandangn penal mengenai isu tersebut?

• Bagaimanakah generasi muda dapat bertangungungjawa atau memepersiapkan diri untuk belajar dan mencari pasangan?
• Dan bagaimanakah untuk mengharungi hidup selepas berkahwin diusia muda.

Sebelum mengupas persoalan ini dengan lebih mendalam, mari bersama kita hayati apa yang ingin disampaikan melalui Surah An-Nur ayat ke 32,
Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah dikalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi  Maha Mengetahui.

Dari Surah An-Nur ayat 32 menjelaskan tentang perintah Allah SWT agar segera menikahkan mereka yang masih bujang. Realitinya isu kahwin muda bukanlah perkara baru di dalam kelompok masyarakat sebenarnya. Mungkin ada yang bertanya bagaimana kaedah mereka untuk mendapatkan sejumlah wang untuk mendirikan rumahtangga seterusnya melayari rumahtangga dengan usia yang muda serta pendapatan yang tidak tetap? Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)” (Hadith riwayat Imam Ad Dhalani) dalam Musnad Al Firdaus. Bahkan seandainya kita termasuk golongan yang tidak mampu, jangan bimbang Allah SWT sendiri akan memampukannya.

Menjawab persoalan berkaitan kahwin muda, secara peribadinya saya bersetuju kerana melalui kaedah ini kita dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah kebejatan akhlak, keruntuhan nilai moral dan sahsiah serta yang paling utama kita dapat membendung masalah zina yang semakin hari semakin meningkat statistiknya. Kahwin muda adalah digalakkan bukannya bercinta diusia muda. Namun beberapa perkara haruslah dititik beratkan sebelum mengambil keputusan bagi kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mendirikan rumahtangga kerana perkahwinan adalah tanggungjawab dan amanah dan bukannya perkara yang boleh dipandang remeh. Dalam konteks mahasiswa, tiga perkara ini haruslah dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk bernikah iaitu:
·         Sumber kewangan
·         Pengurusan akademik
·         Persediaan mental

Suka saya nyatakan di sini bahawa, cinta itu harus wujud di dalam setiap perhubungan tetapi jika mekanisme cinta serta kesanggupan itu tidak seimbang maka tidak perlulah memikirkan untuk berumahtangga andai cinta diletakkan sebagai yang terulung. Mengapa saya nyatakan sebegitu adalah, jika kita lihat daripada maksud perkahwinan itu sendiri membawa makna dari segi bahasa iaitu bercampur dan berkumpul manakala dari sudut istilah syara ianya merujuk kepada Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Bagi seoarang lelaki yang bakal bergelar suami serta selaku ketua rumah tangga seharusnya elemen utama yang harus diutamakan adalah akhlak. Akhlak merupakan kunci kejayaan bagi sebuah rumahtangga, manakan tidak melalui akhlak inilah suami mampu mendidik isteri dan juga keturunannya. Disamping tiga elemen yang dinyatakan tadi segalanya harus digarapkan secara selari agar akhirnya mampu dihadam secara kemas dan tersusun. Jangan sesekali diabaikan tentang akademik, kewangan dan persediaan mental untuk mendirikan rumahtangga. Pastikan segalanya tidak terabai dan lebih tersusun apabila telah mendirikan rumahtangga kelak kerana amanah besar menanti anda. Manakan tidak andai dulu hidup sendiri tapi kini tanggungjawab bertambah dan segalanya harus dilipat gandakan.

Di sini saya sertakan beberapa kaedah yang mungkin berguna untuk meyakinkan ibubapa mahupun keluarga anda jika anda ingin berkahwin muda:

·         Anda perlulah memiliki akhlak dan sasiah rupa diri yang baik dan elok. Bukan hanya di buat-buat atau berlakon. Tunjukkan rasa hormat anda kepada ibubapa anda dan ibubapa pasangan anda.

·         Pamerkan sifat anda yang matang terutama ketika berbicara. Berani untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri yang baik demi kepentingan bersama. Bukan hanya memikirkan diri anda seorang sahaja.

·         Sangat-sangat penting untuk anda menjaga amal ibadah anda. Pastikan solat cukup, rajin membaca Al-Quran dan berperlakuan tenang dalam apa juga situasi.

·         Matlamat anda ingin berkahwin bukanlah semata-mata kerana nafsu tetapi untuk mencari keredhaan Allah dan ingin mendekatkan diri anda lagi dengan Allah SWT.

·         Mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi. Jika anda masih belajar, anda boleh mulakan berniaga kecil-kecilan. Ataupun anda boleh bekerja secara separuh masa beberapa jam sehari atau di hujung minggu. Tapi pastikan ianya tidak menganggu prestasi pelajaran anda!

·         Jika anda berdua masih belajar, pastikan anda letakkan pelajaran di tangga Nombor 1. Janjikan perkara ini kepada kedua ibubapa anda. Setelah anda tamat belajar, barulah anda letakkkan rumahtangga anda di Nombor 1. InsyaAllah, jika pasangan anda seorang yang benar-benar memahami anda, pasti tiada masalah. Sama-samalah berusaha dan tahu tenggungjawab masing-masing.

·         Tanggungjawab sebagai suami-isteri perlu juga untuk anda tidak abaikan. Taat kepada suami dan berilah nafkah secukupnya kepada isteri anda.

·         Nyatakan secara spesifik kepada ibubapa anda dari mana sumber kewangan anda untuk menampung kos sara-hidup ketika anda sudah berkahwin kelak.

·         Bawalah pasangan anda ke rumah anda untuk makan malam bersama dan kenalkanlah dia kepada mereka.

·         Akhir sekali berbincanglah dengan lemah-lembut dengan ibubapa anda untuk menyatakan perancangan anda untuk berkahwin. Jangan sesekali anda nyatakan dalam nada yang mendesak. Berurusan dengan orang yang lebih tua ni perlulah secara lemah-lembut dan perlahan-lahan. Mereka amat mudah terasa dan sensitif.
Wallahua’lam

MODE: Maaf seadanya andai ada yang terguris dan mengguris...Sampai Jumpa Lagi...Buat semua yang disayangi RENUNG FIKIR BERSAMA...JANGAN TERHANTUK BARU TERNGADAH

Saturday, June 2, 2012

SIRI 2: "CINTA DICENGKAM SENGSARA...NAMUN AKU MASIH DI SINI"

Assalamualaikum Alhamdulillah Syukur Kerana Allah SWT Mengurniakan Kesihatan Kepada PENULIS, ANDA BAGAIMANA? Jom kita sambung untuk SIRI ke 2 pula. Moga memberikan manfaat kepada kita bersama, Insyaallah.  

Apakah pendapat panel mengenai bercinta menurut pandangan Islam?

Secara peribadinya apa yang mampu saya nyatakan apabila ditanya soalan ini adalah cinta hanya akan terbit dan hadir kepada seseorang kerana cintanya kepada Allah SWT. Saya yakin cinta hanya akan terbit apabila kita membulatkan tekad dan meletakkan cinta yang utama hanya pada Allah dan Rasul. Namun harus ditegaskan di sini bahawa, Islam tidak melarang kita untuk bercinta namun jangan sampai bercinta hanya berpaksikan cinta sesama insan semata, tetapi yang paling utama dan selayaknya disandarkan kepada agama dan sunnah. Cinta Allah dan Rasulullah harus didahulukan kemudian cinta kepada insan akan menyusul. Implikasinya apabila meletakkan cinta yang teragung sebagai yang utama kita dapat lihat bahawa melalui bunga cinta yang berputik ini ia akan menjadikan kita lebih mengenali dan mendekatkan diri pada Allah SWT dengan bimbingan dan ajarannya. Rasulullah SAW telah bersabda,"Janganlah sekali-kali berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang perempuan atau berpergian dengannya melainkan disertai muhrimnya" (Al-Hadith) dan Sabda baginda lagi; "Sungguh aku (Rasulullah) benar-benar mengetahui beberapa umatku, datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar perbuktian (yang nampak putih) lalu Allah menjadikannya berhamburan/berkecai sia-sia. Tsauban bertanya: Ya, Rasulullah jelaskan kepada kami sifat-sifat mereka, kerana kami khuatir termasuk seperti mereka sedang kami tiada menyedarinya. Jawab Rasulullah: Mereka adalah saudaramu yang melakukan ibadah di malam hari, tapi apabila mereka bersunyi-sunyi dengan yang diharamkan oleh Allah, mereka mengganggu kehormatannya" [Al-Hadith].

Jelas bahawa bercinta itu fitrah namun apabila disalurkan pada medium yang salah pasti akan membinasakan. Suka saya menyentuh tentang isu bercinta sebelum kahwin, sama sekali tidak terlintas untuk menyalahkan sesiapa sekadar menasihatkan diri ini serta sekadar perkongsian ilmu yang tidaklah seberapa ini. Merujuk kepada Surah al-Isra' ayat ke 32 "Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk" Dalam konteks bercinta sebelum kahwin dilihat dewasa ini, lebih banyak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak. Kelakuan percintaan seperti berdua-duaan sama ada di temapt sunyi atau di tempat awam, berpegangan tangan, dan bercumbu-cumbuan dilihat seperti muqaddimah zina. Mula-mula pegang tangan, selepas itu hanya tuhan yang tahu. Kita jangan lupa bahawa syaitan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Adam iaitu kita semua. Justeru, ada pertanyaaan seperti “Kalau tak bercinta, macam mana nak kenal sesuai ke tak jadi pasangan hidup?”. Bila direnung-renung betul betul jugak kan? Maka istilah bercinta sebelum kahwin perlu ditukar kepada istilah berkenalan sebelum kahwin.

Merujuk kepada sirah nabawiyyah pada zaman Rasulullah ada seorang sahabat yang ingin berkahwin. Lalu oleh kerana “tawakkal” nya begitu tinggi dengan selambanya dia memberitahu Rasulullah untuk mencari calon isterinya. Katanya dia akan terima sahaja walaupun tak pernah melihat bakal isterinya. Rasulullah menasihati supaya melihat dahulu bakal isterinya sebelum berkahwin. Namun, si sahabat berkata tidak mengapa Rasulullah. Lalu pernikahan pun berlangsung. Walau bagaimanapun selepas berkahwin, si dia tadi terkejut melihat isterinya yang tidak menepati langsung cita rasanya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah pun menempelak si dia tadi. Tu lah, sebelum kahwin tak nak tengok dulu, kan dah menyesal. Ibrahnya, kalau nak berkahwin tu, setidak-tidaknya perlulah kenal dahulu. Oleh sebab itu, dalam Islam juga menganjurkan supaya melihat bakal suami atau isteri terlebih dahulu dengan prosedur yang diiktiraf oleh syarak. Bagaimana? Ha, kalau nak tengok calon tu, jangan jumpa berdua sahaja. Bawalah teman yang mahram ataupun seelok-eloknya ibu bapa atau pasangan yang telah berkahwin untuk menjadi perantara. Dengan cara ini. Pertemuan terkawal, hajat pun sampai dan insyaallah tidak timbul perkara-perkara yang menghampiri zina. Selain itu, di zaman cyber ni al-maklum sahajalah. Pelbagai teknologi seperti SMS (sistem pesanan ringkas), YM (Yahoo Messenger) dan sebagainya. Islam tidak mengharamkan penggunakan medium ini untuk berkenalan, namun perlulah si pengguna teknologi memahami batas-batas syarak. Janganlah perbualan menjurus kepada kata-kata yang tidak perlu seperti kata-kata lucah dan yang sewaktu dengannya. Anda lebih mengetahui niat anda dalam melakukan perkara-perkara tersebut.

Secara kesimpulannya, dalam perhubungan di antara muslimin dan muslimat bersamalah kita rujuk pada surah An-Nur ayat 30 bagi lelaki dan surah An-Nur ayat 31 bagi wanita.  
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Friday, June 1, 2012

SIRI 1: "CINTA DICENGKAM SENGSARA...NAMUN AKU MASIH DI SINI"

Assalamualaikum Salam Satu Ummah moga sihat sejahtera hendaknya. Alhamdulillah Allah memberikan ketenangan pada hati ini yang pada mulanya sedih dan nestapa namun Alhamdulillah dengan KUASA YANG MAHA ESA hempedu ini mula ditelan walaupun pahit namun itulah rencah perjuangan. Nak berjuang bukan mudah pastinya banyak MEHNAH yang mewarnai kanvas musafir ilmu YA adakalanya gundah, rawan, merana, mengomel sendiri jadinya. Mungkin ada yang bertanya apa yang cuba di sampaikan dengan "CINTA DICENGKAM SENGSARA...NAMUN AKU MASIH DI SINI"? Bersiri pula tu...1 sampai 3...apahal ni? Putus CINTA ke? Ke nak bagi tau kat umum apa yang PENULIS rasa? Ha dah ada yang mula kerut-kerut kening, ada yang dah mula julur lidah, ada yang nak korek tekak macam-macam ekspresi...NAMUN TUNGGU DULU...Biar saya jelaskan (ANDAI nak sediakan TISU silakan).

Ini bukan CINTA BIASA namun ianya CINTA LUAR biasa. Pada sekitar bulan Mac 2012 selepas penulis terlibat secara langsung dengan sebuah Karnival di sebuah kampus di Malaysia, penulis di pelawa untuk menjadi salah seorang daripada penalis sebuah program bual bicara di suatu kawasan yang belum sempat keluar dari PETA Malaysia. Alhamdulillah, pihak penganjur memberikan kerjasama yang amat baik kepada penulis dengan menyediakan soalan sebagai persiapan menjelang tarikh program menjelang...pada mulanya program ini dirancang pada tarikh 180512 dan akhirnya ditunda pada 250512 dan makluman terakhir yang penulis dapat adalah program ini akan ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak. Jadinya penulis pun tunggulah bila agaknya perkongsiaan ilmu ini dapat direalisasikan. Bukan nak tunjuk siapa yang lancar percakapan atau hebat di medan debat tetapi yelah kita ORANG MISKIN ilmu pun tak banyak...tapi seronok nak SHARE...jadinya disebabkan AMANAH yang diberikan oleh pihak penganjur penulis pun mulalah menjalankan sedikit kajian kes, temuramah orang sana-sini tentang topik yang diberikan, tanya ustaz-ustaz (sampai ada yang kata, "Awak nak NIKAH dah ke? Beria-ria...selama ni bila sebut CINTA sesama MANUSIA awak mcm tak ambil PUSING je), beli BUKU (tapi buku ni bagus untuk rujukan mendatang...tak membazir tak mengapa) dan macam-macam lagilah agar penyampaian penulis pada malam itu dapat menyantuni segenap LAPISAN UMUR yang bakal berkunjung (sekali lagi BUKAN penulis NAK TUNJUK HEBAT...cuma nak meraikan semua yang ada...motifnya bila habis program UKHUWAH sesama MUSLIM lebih RAPAT dan dapat KURANGKAN PERBALAHAN...tu apa yang terdetik di dalam hati seorang HAMBA YANG TAK PUNYA APA).

260512 pada mulanya hati ni berbunga-bunga kerana mendapat makluman daripada apart of team members program ni yang kata pada penulis, "Kertas Kerja Program dah lulus dan akan dilaksanakan pada bulan September". Hati melonjak riang masa tu kiranya menghitung harilah konon tak sabar nak jumpa crowd malam tu dan dalam masa yang sama dapatlah kenal dengan komiti program (nak bina keluarga besarlah katakan...nak sampai tahap AHLI POLITIK tu taklah). Alih-alih pada 310512 jantung ini bagai disentap oleh MANUSIA yang tidak punya RASA (mungkin ada diabetis tu yang tak rasa tu...rasa syukur, terima kasih sesama manusia dan sebagainyalah) mata yang tadinya terpaku pada bait lirik di skrin tiba-tiba terpaku pada satu AMARAN di mailbox..."Saya dan dia telah decide nak sipolan bin sipolan untuk menjadi panel dan moderator program bla...bla...bla...jangan perlekeh kradebiliti kami". Meminjam ISTILAH kini "Sentap AKU" tu je yang terlintas buat pertama kalainya apabila membaca TULISAN berbaur BIADAP itu...penulis secara peribadinya memang SEDIH dengan apa yang berlaku...pada mulanya memang tak menitis air mata...namun selepas berdoa padaNya air mata ini mengalir tanpa henti..."Yakinlah HATI Allah nak bagi yang terbaik" itu je yang terlintas di hati selepas berkongsi rasa dengan adik-adik yang sentiasa memahami dan sentiasa dekat dalam apa jua keadaan.

Dipendekkan cerita, memandangkan PENULIS bukan lagi PENALIS bagi program tersebut tak salah rasanya andai penulis berkongsi apa yang bakal penulis KONGSI pada malam tersebut berdasarkan PERSOALAN yang diberikan. Mungkin ramai yang tak nak tau atau merasakan POYO dia ni...tu pun nak KECOH...itu terpulang pada kalian kerana bagi penulis selagi masih BERNYAWA apa yang memberikan manfaat harus dikongsi bersama...Moga terjawablah persoalan kepada yang mengarang SOALAN dan memberikan kepada penulis di Plaza Alam Sentral, Shah Alam...inilah hasil kajian ku...Maaf andai tidak menjawab persoalan kalian...kalau tak sampai ke JIWA tu adalah something wrong somewhere...Moga memberi MANFAAT kepada semua yang sudi membaca.  

Apakah pandangan panel berkaitan fenomena “BERCINTA” dikalangan generasi muda khususnya Mahasiswa IPT?

 “Kuntuman cinta nan luar biasa, mekar indah dalam hati para insan, yang saling merindui. Antara diriku dan juga dirimu” Sang Roman Pencinta Agung. 

BERCINTA adalah istilah bagi mereka yang merasai wujudnya perasaan yang tanpa diduga dan adakalanya kita sendiri tidak sedar akan kewujudannya. Tidak keterlaluan andai kita nyatakan bercinta adalah keterikatan dan tanggungjawab. Secara peribadinya ramai dikalangan kita yang salah menterjemahkan cinta dengan mencipta satu lagi istilah baru bagi mengekspresikan CINTA dengan COUPLE. Apabila bercouple, ramai yang tersasar dan terjebak dengan maksiat. Apabila menyebut maksiat hati, mungkin ramai dikalangan kita tidak menyedarinya. Pada mulanya hanya berutus khabar, kemudian selalu bermesej-mesej tanpa urusan yang munasabah, kemudian bergayut di telefon sehingga adakalanya sampai habis bateri, tak cukup bermesej dan bergayut ditambah lagi berdating kononnya untuk lebih mengenali antara satu sama lain serta mencari keserasian untuk dijadikan pasangan hidup. Apabila sudah mengenali antara satu sama lain mulalah ingin berpegangan tangan, berpelukan dan bercumbuan dikhalayak umum walaupun pada hakikatnya kita tahu menyentuh yang bukan mahram adalah haram. Akhirnya, untuk membuktikan rasa cinta yang sejati ada yang sanggup membuktikan cinta dengan menghiburkan pasangan yang belum dinikahi dengan berkunjung ke Pusat Karaoke, Hotel Murah dan sebagainya semata-mata untuk membuktikan cintanya yang akhirnya mencalar maruah diri. Akhirnya, daripada maksiat hati yang dipandang remeh boleh menjurus kepada penzinaan dan implikasinya ramai nyawa yang tidak berdosa menjadi korban. Apabila berlaku kes pembuangan bayi, pengguguran janin, pembunuhan secara kejam dan sebagainya siapa yang harus dipersalahkan? Apakah kita sebagai masyarakat hanya mampu menuding kesana kemari? Renung Fikir bersama…

CINTA merupakan fitrah yang dianugerakan oleh Allah SWT yang tidak boleh dinafikan. “Cinta itu boleh buta namun jangan biarkan hati itu buta kerana cinta.” Cinta mungkin dilihat remeh namun realitinya cinta banyak mengubah sejarah dunia kerana cinta yang bersahut sentiasa mendamaikan dan memberi semangat untuk melalui hidup yang lebih bermakna. Tafsiran cinta dapat dikenal pasti samada dari sudut bahasa ataupun pemerhatian. Namun ilmu agama yang mampu membezakan cinta sesama manusia itu menjurus kearah kebaikan atau sebaliknya. Dari Abu Hamzah Anas Bin Malik R.A pelayan Rasulullah SAW dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Tidaklah sempurna keimanan salah seorang di antara kamu sehingga ia mencintai bagi saudaranya (sesama muslim) segala sesuatu yang dia cintai bagi dirinya sendiri. (HR Bukhari dan Muslim). Apa yang cuba disampaikan melalaui hadith ini adalah, cintailah seseorang itu sepertimana kita menyintai diri kita sendiri. Menyintai sesama muslim bukan bermaksud kita boleh menghalalkan sewenang-wenangnya segala perkara yang haram kerana segalanya telah termaktub di dalam syariah. Secara peribadinya, perasaan ingin bercinta ini mungkin terbit apabila kita merasakan kita ini keseorangan, kosong dan perlukan teman untuk berkogsi segalanya. Mungkin ciri-ciri yang kita idamkan ada pada individu tersebut dan kita merasakan kita mempunyai keserasian. Pada saya apabila ada dua elemen ini mungkin akan terbit rasa cinta itu. Namun suka saya tegaskan di sini, andai cinta tidak diurus tadbir dengan panduan wahyu yang betul maka dengan sekelip mata ia akan bertukar menjadi fitnah. Segalanya bergantung kepada intipati ataupun hakikat serta kaedah mengurusnya.

Memetik kata-kata Pak Hamka,
“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada diri setiap manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnya yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ketanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, dusta, penipu dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.” 

Sebelum berundur untuk sesi pertama renung fikir bersama bait pantun ini; Maksiat itu khayalan syaitan, Dosa bertambah diri merana, Usah terjebak segala hasutan, Kuatkan diri perteguh agama. Wallahhua’lam…

MODE: Renung Fikir Bersama...Andai Tersasar Tegurlah Dengan Berhemah...Sampai Jumpa Lagi Maa'ssalamah