THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, October 13, 2012

PENDIDIK ATAU PENGAJAR?



Sebagai seorang guru adakalanya kita sering keliru adakah peranan kita hanya sekadar mengajar seperti apa yang telah ditetapkan atau melaksanakan lebih daripada apa yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan tanpa mengira tentang bayaran yang bakal diterima dan ganjaran anugerah yang bakal dikalungkan. Istilah mengajar dan mendidik mungkin boleh disifatkan sama namun natijahnya apabila dikupas intipatinya tidak sama.

Mengajar adalah hanya melaksanakan tugasan seperti yang ditetapkan dan mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Akhirnya kita hanya akan melahirkan seorang pelajar yang hanya menghafal tanpa memahami konteks ilmu yang ingin kita sampaikan. Mengajar disifatkan hanya menyampaikan ilmu secara fakta tanpa menganalisis mahupun mengkaji sesuatu fakta seterusnya mengaitkannya dengan keadaan semasa serta persekitaran di sesebuah tempat. Apabila keadaan ini berlaku, maka lahirlah golongan pelajar yang hanya cemerlang di dalam akademik namun gagal mengaplikasikan ilmunya di dalam kehidupan seharian. Kita gagal melahirkan modal insan yang sering dilaung-laungkan dan apakah dengan cara ini kita dapat melahirkan golongan intelektual yang betul-betul mampu menganalisis dan memahami sesuatu isu serta menangani permasalahan itu dengan ilmiah dan berhikmah? Maka implikasi daripada situasi tersebut bakal lahirlah golongan yang hanya menurut membuta tuli tanpa memikirkan impaknya untuk jangkamasa panjang.

Berbanding dengan pendidik, golongan ini amatlah sukar dicari kerana golongan ini merupakan insan yang bekerja lebih untuk memastikan pelajar menjadi manusia yang berguna bukan hanya dalam konteks ilmu tetapi mampu berperanan sepenuhnya dalam proses sumbangsaran idea baru dalam meningkatkan lagi kualiti kehidupan individu mahupun masyarakat. Pendidik bukan sekadar mengajar namun dalam masa yang sama mampu menjadi motivator yang berjaya. Golongan ini sentiasa dekat di hati pelajar keran meraka memandang pelajar sebagai amanah dan tanggungjawab. Pelajar lebih gemar mendekati guru-guru sebegini kerana bagi mereka golongan seperti ini mampu memahami mereka dan lebih mudah didekati. Guru sebagai sahabat bukan sebagai musuh. Namun, sebagai guru walaupun kita menganggap anak murid kita sebagai sahabat namun kita seharusnya mengingatkan pelajar bahawa mereka seharusnya mengamalkan adab seorang pelajar terhadap guru. Walaupun akrab namun perlu ada batasan kerana profesyen perguruaan bukan profesyen yang boleh dianggap enteng. Akhirnya, apabila pelajar dididik dengan sempurna akan lahirlah golongan intelektual yang bijak mencatur kehidupan, membangun kesatuan ummah dan berperanan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan kualiti nilai komuniti.

Pendidik dan pengajar merupakan dua kata kerja yang berbeza peranannya. Oleh yang demikian seharusnya sebagai seorang guru seharusnya kita berusaha mendidik generasi pelapis negara agar menjadi aset bernilai untuk pembangunan negara.

Monday, October 8, 2012

KAIN CINTA PUTIH



Menyelusuri denai kehidupan ,
Yang penuh ranjau berduri,
Adakalanya tewas dimamah ilusi,
Akhirnya sepi sendiri.

            Aku masih di denai itu,
            Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti,
            Mungkinkah aku mujahid cinta?
            Menagih cinta yang dimeterai sejak azali.

Kain cinta putih menjadi saksi,
Kesekian kalinya…merintih sayu,
Bilakan damai kemarau di hati,
Ibu...Ayah…cuma kau yang memahami ku.

            Mungkinkah tiada sekelumit bahagia buat kita?
            Kain putih…tanpa sebarang noda,
            Akhirnya reput dimamah hari,
            Kerinduan…pengharapan…duka menyelubungi diri.

Merintih sayu sendiri,
Biar aku bukan yang terbaik,
Namun ibu...ayah... masih setia mendampingi ku,
Kain putih menjadi saksi termeterai cinta hakiki.

            Rasanya belum puas aku kecapi nikmat bahagia,
            Lembut belaianmu masih dapat kurasakan,
            Tapi kini…aku hanya menghitung hari,
            Mungkin ini kali terakhir kau meratap permata  
              hatimu.
Segalanya tercatat di kanvas kehidupan,
Suratan mahupun takdir,
Aku redha dengan ketentuannya,
Namun tubuh kaku ini masih menghitung hari.

            Gusar…resah…gelisah,
            Mematikan hati…merumitkan fikiran,
            Mengapa aku…aku meratap sayu,
            Rahsia disebalik kain putih.

Maafkan aku wahai ibu...ayah,
Sehingga akhir nyawaku,
Kau setia mendampingiku,
Aku tak berdaya…amanah yang digalas bakal ditinggalkan.

            Hanya memori …mengulit rindu,
            Mengusap kesedihan yang kau alami,
            Kesengsaraan yang tiada bertepi,
            Maafkan aku wahai ibu…wahai ayah

Written: NORSHAMSEDAH a.k.a SALSABILA HUMAIRAH
SAFWATULLAH WALIUDDIN

MODE: Muhasabah Buat Diri

Saturday, August 25, 2012

CERITA DUKA


Terdampar di mamah usia
Lelah menongkah arus dunia
Secubit gembira nan pudar
Berakhirlah lara sekeping hati

Di mana lagi harus ku himpunkan
Keperitan hati yang meronta
Acapkali minta kebebasan
Akhirnya kelam selimut jiwa

Rintihan syahdu menjadi  teman
Adakala meraung sendiri
Tak tertanggung cerita duka
Terpahat dikanvas kehidupan

Sunatullah mana mungkin diubah
Jangan mudah menyalahi takdir
Cerita duka bersulam hikmah
Mungkin terselit manisnya iman

Andai terlupa ingin ku khabarkan
Jiwa yang lara hanya ujian-Nya
Menguji teguhnya iman
Dipersada dunia nan fana

Friday, July 27, 2012

RAMADHAN KAREEM

Ramadhan Kareem...Allahhu Akhram
Sahut-sahutan 
Disetiap pelusuk

Rindu tidak tergambar
Akhirnya Ramadhan datang jua
Walau natijahnya tidak serupa
Namun tetap diiringi maghfirah

Ayuh wahai teman
Susun langkah seiring
Sebelum berjalan tanpa henti
Mendamba redha illahi

Moga Ramadhan ini
Menjadi medan perjuangan
Menentang mehnah serta nafsu
Kelak menjadi insan terulung

MODE: Hadiah CINTA dari ALLAH SWT, Ramadhan Kareem buat semua yang dikasihi, disayangi,dicintai,dihormati,diingati,dirindui dan SELURUH KAUM MUSLIMIN dan MUSLIMAT

Thursday, June 7, 2012

BICARA IMAN: KELUARGA QUR'ANI

Assalamualaikum Salam Satu Akidah...Satu Ummah, Alhamdulillah dikurniakan kesihatan pada diri ini anda sahabat sahabiah yang saya sayangi bagaimana? Moga diberi kesembuhan oleh Allah SWT dan dapat menjalankan tanggungjawab seperti biasa Insyaallah. Alhamdulillah dikesempatan yang ada Insyaallah penulis cuba berkongsi ilmu yang penulis perolehi daripada program Bicara Iman "Keluarga Qur'ani" yang telah pun dilaksanakan pada 7 Jun 2012 di Auditorium Kompleks Taman Seni Islam bersama Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Tarmizi sebagai Qari Jemputan. Alhamdulillah, walaupun pada perancangan awalnya akan kesana bersama adik-adikku sayang namun Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat mereka...akhirnya keseorangan menuju ke taman-taman syurga. Alhamdulillah perjalanan menuju ke Shah Alam berjalan lancar dan menepati masa yang penulis jangkakan untuk sampai ke sana (mengharapkan penulis masuk sebelum penceramah masuk mengajar...adab berguru kan...kita kena tunggu dan menghormati orang yang nak berkongsi ilmu dengan kita)...Alhamdulillah Allah Makbulkan.

Alhamdulillah ramai yang datang membanjiri majlis ilmu ini, penuh bahu jalan dan tempat letak kereta dengan kenderaan entah dari ceruk mana datangnya (yelah semua nak sertai taman-taman syurgakan). Sehinggakan Uncle Taxi (berbangsa INDIA) yang sudi menghantar penulis ke sana sempat berbual pendek tetapi berbayarlah sebab naik teksi akibat risau terlambat kalau nak berjalan kaki merentas tasik...masjid negeri...dan beberapa landmark berhampiran. Setibanya di jalan utama di antara Masjid Negeri dan Kompleks Taman Seni Islam, 

Uncle Taxi: Aiyooo adik macam mana mau masuk ini tempat, banyak kereta kaloo, berenti tepi ini masjid boleh  ka? Kasi jalan sikit itu dalam wokey? Apa ada ini dalam? Selalu takda punoh ini macam?

Penulis: Takpe uncle berhenti sebelum zebra cross line ni pun boleh, ok je jangan risau. Oh, hari ni ada kelas agama lagipun penceramah tu memang friendly uncle.

Uncle Taxi: Owh itu macam ka adik, wokey2 selamat belajar ha...friendly kalo mesti banyak syok blajar...

Penulis: Ok Uncle, terima kasih hantar saya...

Uncle Taxi: Wokey...wokey no problem

Allahuakhbar tengok ni sebagai contoh, uncle yang beragama hindu itu pun tahu nilai ilmu. Memanglah dia tak doakan dengan mengangkat tangan tapi dengan kata-katanya tadi "Selamat Belajar" maknanya mudah cerita kita boleh simpulkan yang uncle ni tahu tentang peranan ilmu untuk jadi manusia yang cemerlang...tu bangsa INDIA yang kata (yelah walaupun dia taklah buat announcement untuk semua...tapi fahamkanlah ya)..dalam perjalanan yang tinggal beberapa langkah sahaja nak menuju ke Auditorium dengan merentas Kafeteria ada pula seorang makcik ni menyapa (nyaris tak masuk longkang...yelah terperanjat...sebab dalam otak ni duk memikir ustaz dah mai ka belum ni....kalau dah mula rugilah penulis...makcik ni menggelarkan penulis sebagai ustazah (allahhuakhbar jauhnyalah nak menuju ke gelaran ustazah tu banyak yang perlu diperbaiki namun jauh di sudut hati ini berharap agar doa mereka yang selalu menyapa penulis dengan gelaran ustazah menjadi nyata, Insyaallah)),

Makcik: Assalamualaikum Ustazah laju berjalan, nak kemana tu?

Penulis: Waalaikumsalam makcik nak ke auditorium, makcik pun mesti nak ke sanakan? Matlamat kita sama makcik insyaallah nak dengar kuliah Ustaz Don =)

Makcik: Ya Allah Ustaz Don, baru makcik ingat ustaz yang mengajar makcik dalam kuliah ada pesan minggu lepas tapi hari ni makcik baru ingat lepas makcik ternampak iklan tu (sambil membaca banner dan tunjuk pada penulis gambar Ustaz Don =) ) Moh cepat, ni mesti dah penuh ni, kan cuti sekolah.

Penulis: Moh Makcik (perbualan setakat tu sebab masing-masing dan memanjangkan langkah dan mempercepatkan hayunan langkah)

Alhamdulillah sampai di depan auditorium seperti yang dijangkakan memang penuh dan padat sampai ada yang duduk di luar pun ada (bersimpuh depan lif kerana disediakan layar dan skrin) bagi penulis dapat mendengar suaranya dan mendengar kuliahnya sudah memadai daripada terus berebut-rebut dengan mereka yang begitu teruja untuk mengambil gambar dan berbisik-bisik dan bergosip (tentang apa?biarlah penulis simpan sendiri =)) Sebelum memulakan kuliah kami semua di sajikan dengan Alunan Bacaan Al Quran Bertaranum oleh Ustaz Tarmizi...sebak pun ada juga mendengar pesanan-pesanan Allah di dalam Al-Quran walaupun pada masa yang sama ramai lagi yang datang dan "kalut" mencari posisi yang sesuai =)...Selesai bacaan Al-Quran sampailah kita pada perkongsiaan ilmu bersama Ustaz Don (macam biasa Ustaz Don yang penulis kenali adalah seorang yang humble, bersahaja, menyantuni semua yang ada, dalam gelak tawanya terselit mesej dakwah yang santai tapi bermakna pendek kata he deserved it ). Sepanjang kuliah ,ustaz banyak bercerita jadi itu yang banyak membantu pemahaman dan alunan ayat al-quran yang disampaikannya disambung dan adakalanya peserta ikut serta membacanya, sampai ustaz kata, "Uish dahsyat la semua...lagu ni boleh buat konsert ni"..pengisiannya penulis ringkaskan sahaja mengikut kefahaman dan apa yang penulis analisis sendiri. Insyaallah mampu memberikan manfaat kepada semua dan diri ini juga...Allahhumma Ameen...

RINGKASAN BICARA IMAN

"Wahai manusia berimanlah kamu dengan sebenar-benar iman..." makna kata apa? Makna kata kita ni kena hadam bab Akidah, Ibadah, Akhlak yang paling utama Rukun Iman Rukun Islam kena hayati sungguh-sungguh. Ingat tak tentang kisah Nabi Musa, Firaun dan Ahli Sihir? Sebelum tu ni nak habaq mai, Raja zaman dulu-dulu guna ahli sihir untuk menjaga jajahan takluknya supaya apa? Supaya nampak depa ni hebatlah. Ni pakat sambung balik cerita tadi, ahli sihir tu kata tali ni boleh bertukar menjadi ular, kalau nak ikutkan tali ahli sihir tu tetap tali namun setelah di buat silap mata dan mata kita pun tesilap pandang maka nampaklah macam ular. Tetapi apabila Nabi Musa melemparkan tongkatnya memang jadi sungguh ular. Ular tu telan perabih semua yang ada sampai ada dikalangan manusia ketika itu beriman dengan Tuhan Nabi Musa.

Cerita kedua tentang seorang pemuda yang rutinnya akan berulang dari rumah ke istana untuk menuntut ilmu bersama seorang RAHIB dan AHLI SIHIR. Ahli Sihir tu kata kat pemuda ni "RAJA ITU TUHAN" manakala Rahib kata "Tuhan itu memiliki segalanya, tiada siapa yang mampu tandingi kuasa tuhan" jadi nak dipendekkan cerita suatu hari dipertengahan jalan semasa pemuda ini nak menuju dan belajar bersama ahli sihir tu, perjalanannya terhalang oleh seekor binatang buas. Jadi dalam hati pemuda ni terdetik, siapa yang betul ya? lalu hati dia berbisik kalau betullah apa yang diajar oleh Rahib tu maka binatang ni akan mati atau sebaliknya. Dengan izin Allah, maka binatang tu mati dan pemuda ni berkata sungguhlah apa yang diajar oleh rahib itu adalah benar. Lalu setibanya di istana dan berjumpa lah dia dengan ahli sihir tu dia pun tanya apasal kau lambat hari ni?kau menuntut dengan rahib ye?pemuda ini jawab tidak...namun selepas di desak diapun mengaku. Bawaklah pemuda ni jumpa Rahib tu jadi si ahli sihir dan raja ni paksa rahib ni mengaku dengan kekuasaan dan keajaiban mereka namun rahib ni tetap menolak sehingga digergaji dan mati. Selepas itu budak ni ditanya lagi kamu tengok tu guru kamu dah mati la ni nak ikut ajaran kami ka tak mau? pemuda tu jawab tak mau...lalu di ikat dan di tolak di tepi bukit namun dengan kuasa Allah pemuda ini selamat dan kemudian di tolak ke dalam laut juga masih selamat. Akhirnya pemuda ini memberitahu kepada raja dan ahli sihir itu kaedah membunuhnya iaitu dengan menusukkan anak panah kedadanya. Lalu mereka pun buat seperti yang diberitahu maka matilah pemuda itu dan melihat pada kekejaman dan kezaliman ramai dikalagan yang tidak beriman terus beriman dengan Allah. Lihat bertapa besarnya dan agungnya ilmu Allah SWT

Cerita ketiga berkaitan Nabi Ibrahim yang hendak dibakar oleh kaumnya di dalam api yang marak menjulang selama 40 hari 40 malam namun dengan kuasa Allah SWT sedikit pun api itu tidak menjilat tubuh mahupun pakaian Nabi Ibrahim malahan api itu menjadi sejuk. Cerita keempat berkaitan Nabi Muhammad SAW dicabar oleh Abu Lahab untuk membelah bulan namun segalanya mampu dilaksanakan dengan izin Allah dan ilmu yang Allah ilhamkan. Andai dahulu, ramai yang sanggup gugur syahid semata-mata mempertahankan akidah namun kini?

PESAN USTAZ DON

Kajilah apa yang tersirat dan tersurat di dalam Surah An-Nur dan Surah Kahfi sebagai panduan hidup. 

Wallahhua'lam terlebih terkurang ampun maaf...moga bertemu lagi di masa akan datang Insyaallah...Jazakallah

MODE: Al-Quran bukan sekadar hiasan...BACA...FAHAM...TELUSURI MAKNA...KAJI dan APLIKASI di dalam kehidupan (muhasabah untuk kita bersama Insyaallah)







Sunday, June 3, 2012

SIRI 3: EPISOD AKHIR TINTA BICARAKU

Assalamualaikum ini merupakan SIRI ke 3...moga memberikan manfaat kepada semua.


Isu terhangat diperkatakan dalam kalangan generasi muda kini ialah kahwin muda apakah pandangn penal mengenai isu tersebut?

• Bagaimanakah generasi muda dapat bertangungungjawa atau memepersiapkan diri untuk belajar dan mencari pasangan?
• Dan bagaimanakah untuk mengharungi hidup selepas berkahwin diusia muda.

Sebelum mengupas persoalan ini dengan lebih mendalam, mari bersama kita hayati apa yang ingin disampaikan melalui Surah An-Nur ayat ke 32,
Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah dikalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi  Maha Mengetahui.

Dari Surah An-Nur ayat 32 menjelaskan tentang perintah Allah SWT agar segera menikahkan mereka yang masih bujang. Realitinya isu kahwin muda bukanlah perkara baru di dalam kelompok masyarakat sebenarnya. Mungkin ada yang bertanya bagaimana kaedah mereka untuk mendapatkan sejumlah wang untuk mendirikan rumahtangga seterusnya melayari rumahtangga dengan usia yang muda serta pendapatan yang tidak tetap? Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)” (Hadith riwayat Imam Ad Dhalani) dalam Musnad Al Firdaus. Bahkan seandainya kita termasuk golongan yang tidak mampu, jangan bimbang Allah SWT sendiri akan memampukannya.

Menjawab persoalan berkaitan kahwin muda, secara peribadinya saya bersetuju kerana melalui kaedah ini kita dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah kebejatan akhlak, keruntuhan nilai moral dan sahsiah serta yang paling utama kita dapat membendung masalah zina yang semakin hari semakin meningkat statistiknya. Kahwin muda adalah digalakkan bukannya bercinta diusia muda. Namun beberapa perkara haruslah dititik beratkan sebelum mengambil keputusan bagi kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mendirikan rumahtangga kerana perkahwinan adalah tanggungjawab dan amanah dan bukannya perkara yang boleh dipandang remeh. Dalam konteks mahasiswa, tiga perkara ini haruslah dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk bernikah iaitu:
·         Sumber kewangan
·         Pengurusan akademik
·         Persediaan mental

Suka saya nyatakan di sini bahawa, cinta itu harus wujud di dalam setiap perhubungan tetapi jika mekanisme cinta serta kesanggupan itu tidak seimbang maka tidak perlulah memikirkan untuk berumahtangga andai cinta diletakkan sebagai yang terulung. Mengapa saya nyatakan sebegitu adalah, jika kita lihat daripada maksud perkahwinan itu sendiri membawa makna dari segi bahasa iaitu bercampur dan berkumpul manakala dari sudut istilah syara ianya merujuk kepada Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Bagi seoarang lelaki yang bakal bergelar suami serta selaku ketua rumah tangga seharusnya elemen utama yang harus diutamakan adalah akhlak. Akhlak merupakan kunci kejayaan bagi sebuah rumahtangga, manakan tidak melalui akhlak inilah suami mampu mendidik isteri dan juga keturunannya. Disamping tiga elemen yang dinyatakan tadi segalanya harus digarapkan secara selari agar akhirnya mampu dihadam secara kemas dan tersusun. Jangan sesekali diabaikan tentang akademik, kewangan dan persediaan mental untuk mendirikan rumahtangga. Pastikan segalanya tidak terabai dan lebih tersusun apabila telah mendirikan rumahtangga kelak kerana amanah besar menanti anda. Manakan tidak andai dulu hidup sendiri tapi kini tanggungjawab bertambah dan segalanya harus dilipat gandakan.

Di sini saya sertakan beberapa kaedah yang mungkin berguna untuk meyakinkan ibubapa mahupun keluarga anda jika anda ingin berkahwin muda:

·         Anda perlulah memiliki akhlak dan sasiah rupa diri yang baik dan elok. Bukan hanya di buat-buat atau berlakon. Tunjukkan rasa hormat anda kepada ibubapa anda dan ibubapa pasangan anda.

·         Pamerkan sifat anda yang matang terutama ketika berbicara. Berani untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri yang baik demi kepentingan bersama. Bukan hanya memikirkan diri anda seorang sahaja.

·         Sangat-sangat penting untuk anda menjaga amal ibadah anda. Pastikan solat cukup, rajin membaca Al-Quran dan berperlakuan tenang dalam apa juga situasi.

·         Matlamat anda ingin berkahwin bukanlah semata-mata kerana nafsu tetapi untuk mencari keredhaan Allah dan ingin mendekatkan diri anda lagi dengan Allah SWT.

·         Mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi. Jika anda masih belajar, anda boleh mulakan berniaga kecil-kecilan. Ataupun anda boleh bekerja secara separuh masa beberapa jam sehari atau di hujung minggu. Tapi pastikan ianya tidak menganggu prestasi pelajaran anda!

·         Jika anda berdua masih belajar, pastikan anda letakkan pelajaran di tangga Nombor 1. Janjikan perkara ini kepada kedua ibubapa anda. Setelah anda tamat belajar, barulah anda letakkkan rumahtangga anda di Nombor 1. InsyaAllah, jika pasangan anda seorang yang benar-benar memahami anda, pasti tiada masalah. Sama-samalah berusaha dan tahu tenggungjawab masing-masing.

·         Tanggungjawab sebagai suami-isteri perlu juga untuk anda tidak abaikan. Taat kepada suami dan berilah nafkah secukupnya kepada isteri anda.

·         Nyatakan secara spesifik kepada ibubapa anda dari mana sumber kewangan anda untuk menampung kos sara-hidup ketika anda sudah berkahwin kelak.

·         Bawalah pasangan anda ke rumah anda untuk makan malam bersama dan kenalkanlah dia kepada mereka.

·         Akhir sekali berbincanglah dengan lemah-lembut dengan ibubapa anda untuk menyatakan perancangan anda untuk berkahwin. Jangan sesekali anda nyatakan dalam nada yang mendesak. Berurusan dengan orang yang lebih tua ni perlulah secara lemah-lembut dan perlahan-lahan. Mereka amat mudah terasa dan sensitif.
Wallahua’lam

MODE: Maaf seadanya andai ada yang terguris dan mengguris...Sampai Jumpa Lagi...Buat semua yang disayangi RENUNG FIKIR BERSAMA...JANGAN TERHANTUK BARU TERNGADAH