THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, March 10, 2012

ANDAI DIA PERGI DAHULU SEBELUM MU

Assalamualaikum Moga Kalian Sihat Sejahtera hendaknya. Sekadar berkonsi tentang RASA SUNYI, SEPI adakalanya hilang punca. Namun PERCAYALAH setiap KESEDIHAN itu PASTI punya MAKNA dan HIKMAH. Dikongsikan bersama tentang TAHUN KESEDIHAN yang dilalui RASULULLAH SAW selepas perginya INSAN YANG AMAT DIKASIHINYA... Bersamalah KITA menghayati SIRAH NABAWIYYAH INI agar kita menjadi UMAT MUHAMMAD SAW yang mengamalkan segala SUNNAHNYA,Insyaallah SOLLU ALA NABI...JOM KITA HAYATI BERSAMA....

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikkan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. Dialah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserahkan kembali. Jangan ada rasa dimiliki dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi…tapi katakan bagiku sentiasa ada penjaga, juga pemerhati. Muhammad Bin Abdullah kekasih Allah juga tidak terlepas dengan ujian perginya insan yang amat dicintai. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf menyusuli menemui Kekasih Agung. Pemergian demi pemergian silih berganti, tatkala masih dahagakan perhatian serta kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib kemudiannya pergi buat selamanya. Tinggallah baginda dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.

Alangkah indahnya ketika itu mengecap nikmat bahagia bersama insan yang begitu di sayangi, tempat meluah gundah dan resah dikala menyampaikan dakwah, peneman dan penguat dikala jejak perjuangan hampir sahaja tersungkur dilembah derita. Namun segalanya hanya seketika, akhirnya di suatu pagi yang begitu hening, kedengaran gemersik suara Rasulullah SAW sambil duduk di kepala Abu Talib,

“Wahai bapa saudaraku yang ku cintai, ucapkanlah kalimah Lailaha Illallah, kerana dengan kalimah ini nanti aku akan meminta syafaat untukmu daripada Tuhanku di hari kiamat nanti.”

Segalanya musnah apabila di akhir hayat Abu Talib hanya sempat melafazkan,

“Aku tetap di atas agama Abdul Mutalib”

bercucuran air mata baginda SAW manakala Abu Jahal dan Abdullah Bin Abu Umayyah tertawa riang kerana berjaya mematahkan dakwah terakhir Rasulullah SAW terhadap insan yang amat dikasihinya.

Masih terngiang-ngiang lagi lembut tutur Siti Khadijah Binti Khuwailid. Kedatangan utusan Jibril A.S di Gua Hira’ disambut baginda dengan kegelisahan serta keresahan tidak bertepi.Ungkapan “Bacalah” dituturkan dengan penuh ketakutan. Sekembalinya Rasululullah bersama kebimbangan yang jelas di raut wajah dan badan bermandikan peluh, gementar seluruh tubuh baginda, seraya menyeru untuk diselimutkan, datang Khadijah menyapa lembut kepada suami tercinta dengan ungkapan,

“Tidak sama sekali, suamiku. Allah SWT tidak mensia-siakan kamu. Kamu sentiasa menyambung silaturrahim, berkata benar dan membantu mereka yang susah. Selain itu, kamu juga menghormati tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana.”

Khadijah merupakan insan yang banyak berkorban, menyokong serta mendamaikan hati Rasulullah SAW seawal menerima utusan wahyu pertama lagi. Sungguh besar ujian yang menimpa Nabi SAW sehinggakan tahun itu digelar tahun dukacita, Amul Huzun. Rasulullah merasakan kehilangan yang teramat besar. Kesepian dirasai Baginda dengan pudarnya kegembiraan pada wajahnya untuk terus mengatur langkah dakwah. Pada saat itulah penderitaan yang teramat sangat menyelubungi Baginda lantas Kaum Quraisy turut menggandakan tentangan terhadap Baginda selepas kematian dua pembela dan pelindung terkuat Rasulullah. Dua peristiwa terpenting di dalam sejarah Islam yang cukup mengharukan, menggoncang iman serta kesabaran, seharusnya dijadikan landasan sebagai panduan mendidik jiwa menerima qada dan qadar Allah Azza wa Jalla.

Lalu Allah berfirman melalui Surah At-Takwir ayat ke 29,
“Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.”