THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, October 13, 2012

PENDIDIK ATAU PENGAJAR?



Sebagai seorang guru adakalanya kita sering keliru adakah peranan kita hanya sekadar mengajar seperti apa yang telah ditetapkan atau melaksanakan lebih daripada apa yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan tanpa mengira tentang bayaran yang bakal diterima dan ganjaran anugerah yang bakal dikalungkan. Istilah mengajar dan mendidik mungkin boleh disifatkan sama namun natijahnya apabila dikupas intipatinya tidak sama.

Mengajar adalah hanya melaksanakan tugasan seperti yang ditetapkan dan mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Akhirnya kita hanya akan melahirkan seorang pelajar yang hanya menghafal tanpa memahami konteks ilmu yang ingin kita sampaikan. Mengajar disifatkan hanya menyampaikan ilmu secara fakta tanpa menganalisis mahupun mengkaji sesuatu fakta seterusnya mengaitkannya dengan keadaan semasa serta persekitaran di sesebuah tempat. Apabila keadaan ini berlaku, maka lahirlah golongan pelajar yang hanya cemerlang di dalam akademik namun gagal mengaplikasikan ilmunya di dalam kehidupan seharian. Kita gagal melahirkan modal insan yang sering dilaung-laungkan dan apakah dengan cara ini kita dapat melahirkan golongan intelektual yang betul-betul mampu menganalisis dan memahami sesuatu isu serta menangani permasalahan itu dengan ilmiah dan berhikmah? Maka implikasi daripada situasi tersebut bakal lahirlah golongan yang hanya menurut membuta tuli tanpa memikirkan impaknya untuk jangkamasa panjang.

Berbanding dengan pendidik, golongan ini amatlah sukar dicari kerana golongan ini merupakan insan yang bekerja lebih untuk memastikan pelajar menjadi manusia yang berguna bukan hanya dalam konteks ilmu tetapi mampu berperanan sepenuhnya dalam proses sumbangsaran idea baru dalam meningkatkan lagi kualiti kehidupan individu mahupun masyarakat. Pendidik bukan sekadar mengajar namun dalam masa yang sama mampu menjadi motivator yang berjaya. Golongan ini sentiasa dekat di hati pelajar keran meraka memandang pelajar sebagai amanah dan tanggungjawab. Pelajar lebih gemar mendekati guru-guru sebegini kerana bagi mereka golongan seperti ini mampu memahami mereka dan lebih mudah didekati. Guru sebagai sahabat bukan sebagai musuh. Namun, sebagai guru walaupun kita menganggap anak murid kita sebagai sahabat namun kita seharusnya mengingatkan pelajar bahawa mereka seharusnya mengamalkan adab seorang pelajar terhadap guru. Walaupun akrab namun perlu ada batasan kerana profesyen perguruaan bukan profesyen yang boleh dianggap enteng. Akhirnya, apabila pelajar dididik dengan sempurna akan lahirlah golongan intelektual yang bijak mencatur kehidupan, membangun kesatuan ummah dan berperanan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan kualiti nilai komuniti.

Pendidik dan pengajar merupakan dua kata kerja yang berbeza peranannya. Oleh yang demikian seharusnya sebagai seorang guru seharusnya kita berusaha mendidik generasi pelapis negara agar menjadi aset bernilai untuk pembangunan negara.

Monday, October 8, 2012

KAIN CINTA PUTIH



Menyelusuri denai kehidupan ,
Yang penuh ranjau berduri,
Adakalanya tewas dimamah ilusi,
Akhirnya sepi sendiri.

            Aku masih di denai itu,
            Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti,
            Mungkinkah aku mujahid cinta?
            Menagih cinta yang dimeterai sejak azali.

Kain cinta putih menjadi saksi,
Kesekian kalinya…merintih sayu,
Bilakan damai kemarau di hati,
Ibu...Ayah…cuma kau yang memahami ku.

            Mungkinkah tiada sekelumit bahagia buat kita?
            Kain putih…tanpa sebarang noda,
            Akhirnya reput dimamah hari,
            Kerinduan…pengharapan…duka menyelubungi diri.

Merintih sayu sendiri,
Biar aku bukan yang terbaik,
Namun ibu...ayah... masih setia mendampingi ku,
Kain putih menjadi saksi termeterai cinta hakiki.

            Rasanya belum puas aku kecapi nikmat bahagia,
            Lembut belaianmu masih dapat kurasakan,
            Tapi kini…aku hanya menghitung hari,
            Mungkin ini kali terakhir kau meratap permata  
              hatimu.
Segalanya tercatat di kanvas kehidupan,
Suratan mahupun takdir,
Aku redha dengan ketentuannya,
Namun tubuh kaku ini masih menghitung hari.

            Gusar…resah…gelisah,
            Mematikan hati…merumitkan fikiran,
            Mengapa aku…aku meratap sayu,
            Rahsia disebalik kain putih.

Maafkan aku wahai ibu...ayah,
Sehingga akhir nyawaku,
Kau setia mendampingiku,
Aku tak berdaya…amanah yang digalas bakal ditinggalkan.

            Hanya memori …mengulit rindu,
            Mengusap kesedihan yang kau alami,
            Kesengsaraan yang tiada bertepi,
            Maafkan aku wahai ibu…wahai ayah

Written: NORSHAMSEDAH a.k.a SALSABILA HUMAIRAH
SAFWATULLAH WALIUDDIN

MODE: Muhasabah Buat Diri