THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, June 2, 2012

SIRI 2: "CINTA DICENGKAM SENGSARA...NAMUN AKU MASIH DI SINI"

Assalamualaikum Alhamdulillah Syukur Kerana Allah SWT Mengurniakan Kesihatan Kepada PENULIS, ANDA BAGAIMANA? Jom kita sambung untuk SIRI ke 2 pula. Moga memberikan manfaat kepada kita bersama, Insyaallah.  

Apakah pendapat panel mengenai bercinta menurut pandangan Islam?

Secara peribadinya apa yang mampu saya nyatakan apabila ditanya soalan ini adalah cinta hanya akan terbit dan hadir kepada seseorang kerana cintanya kepada Allah SWT. Saya yakin cinta hanya akan terbit apabila kita membulatkan tekad dan meletakkan cinta yang utama hanya pada Allah dan Rasul. Namun harus ditegaskan di sini bahawa, Islam tidak melarang kita untuk bercinta namun jangan sampai bercinta hanya berpaksikan cinta sesama insan semata, tetapi yang paling utama dan selayaknya disandarkan kepada agama dan sunnah. Cinta Allah dan Rasulullah harus didahulukan kemudian cinta kepada insan akan menyusul. Implikasinya apabila meletakkan cinta yang teragung sebagai yang utama kita dapat lihat bahawa melalui bunga cinta yang berputik ini ia akan menjadikan kita lebih mengenali dan mendekatkan diri pada Allah SWT dengan bimbingan dan ajarannya. Rasulullah SAW telah bersabda,"Janganlah sekali-kali berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang perempuan atau berpergian dengannya melainkan disertai muhrimnya" (Al-Hadith) dan Sabda baginda lagi; "Sungguh aku (Rasulullah) benar-benar mengetahui beberapa umatku, datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar perbuktian (yang nampak putih) lalu Allah menjadikannya berhamburan/berkecai sia-sia. Tsauban bertanya: Ya, Rasulullah jelaskan kepada kami sifat-sifat mereka, kerana kami khuatir termasuk seperti mereka sedang kami tiada menyedarinya. Jawab Rasulullah: Mereka adalah saudaramu yang melakukan ibadah di malam hari, tapi apabila mereka bersunyi-sunyi dengan yang diharamkan oleh Allah, mereka mengganggu kehormatannya" [Al-Hadith].

Jelas bahawa bercinta itu fitrah namun apabila disalurkan pada medium yang salah pasti akan membinasakan. Suka saya menyentuh tentang isu bercinta sebelum kahwin, sama sekali tidak terlintas untuk menyalahkan sesiapa sekadar menasihatkan diri ini serta sekadar perkongsian ilmu yang tidaklah seberapa ini. Merujuk kepada Surah al-Isra' ayat ke 32 "Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk" Dalam konteks bercinta sebelum kahwin dilihat dewasa ini, lebih banyak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak. Kelakuan percintaan seperti berdua-duaan sama ada di temapt sunyi atau di tempat awam, berpegangan tangan, dan bercumbu-cumbuan dilihat seperti muqaddimah zina. Mula-mula pegang tangan, selepas itu hanya tuhan yang tahu. Kita jangan lupa bahawa syaitan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Adam iaitu kita semua. Justeru, ada pertanyaaan seperti “Kalau tak bercinta, macam mana nak kenal sesuai ke tak jadi pasangan hidup?”. Bila direnung-renung betul betul jugak kan? Maka istilah bercinta sebelum kahwin perlu ditukar kepada istilah berkenalan sebelum kahwin.

Merujuk kepada sirah nabawiyyah pada zaman Rasulullah ada seorang sahabat yang ingin berkahwin. Lalu oleh kerana “tawakkal” nya begitu tinggi dengan selambanya dia memberitahu Rasulullah untuk mencari calon isterinya. Katanya dia akan terima sahaja walaupun tak pernah melihat bakal isterinya. Rasulullah menasihati supaya melihat dahulu bakal isterinya sebelum berkahwin. Namun, si sahabat berkata tidak mengapa Rasulullah. Lalu pernikahan pun berlangsung. Walau bagaimanapun selepas berkahwin, si dia tadi terkejut melihat isterinya yang tidak menepati langsung cita rasanya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah pun menempelak si dia tadi. Tu lah, sebelum kahwin tak nak tengok dulu, kan dah menyesal. Ibrahnya, kalau nak berkahwin tu, setidak-tidaknya perlulah kenal dahulu. Oleh sebab itu, dalam Islam juga menganjurkan supaya melihat bakal suami atau isteri terlebih dahulu dengan prosedur yang diiktiraf oleh syarak. Bagaimana? Ha, kalau nak tengok calon tu, jangan jumpa berdua sahaja. Bawalah teman yang mahram ataupun seelok-eloknya ibu bapa atau pasangan yang telah berkahwin untuk menjadi perantara. Dengan cara ini. Pertemuan terkawal, hajat pun sampai dan insyaallah tidak timbul perkara-perkara yang menghampiri zina. Selain itu, di zaman cyber ni al-maklum sahajalah. Pelbagai teknologi seperti SMS (sistem pesanan ringkas), YM (Yahoo Messenger) dan sebagainya. Islam tidak mengharamkan penggunakan medium ini untuk berkenalan, namun perlulah si pengguna teknologi memahami batas-batas syarak. Janganlah perbualan menjurus kepada kata-kata yang tidak perlu seperti kata-kata lucah dan yang sewaktu dengannya. Anda lebih mengetahui niat anda dalam melakukan perkara-perkara tersebut.

Secara kesimpulannya, dalam perhubungan di antara muslimin dan muslimat bersamalah kita rujuk pada surah An-Nur ayat 30 bagi lelaki dan surah An-Nur ayat 31 bagi wanita.  
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

0 ulasan: