THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, January 6, 2011

NILAI SEBUAH TANGISAN

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, bantulah hambaMu ini. Sesungguhnya aku tidak mampu lagi menanggung dugaan yang kau berikan pada hambaMu ini. Tidak terdaya rasanya Ku pikul sendiri sengsara yang yang mencengkam. Ya Allah kau bantulah hambaMu ini dengan mengurniakan seseorang yang mampu memperteguhkan langkahKu lantaran menjadi peneman, pembimbing, pendidik, pengajar, pengasuh kepada diri ini agar semakin hari semakin dekat dan akhirnya mencapai redhaMU seperti yang didambakan. Aku mohon agar dia yang aku maksudkan adalah seorang mukmin soleh yang bergelar zauj buat Ku. Ya Allah Ya Rabb, perkenankanlah ratapan hambaMu ini.”
Tanpa sedar linangan manik jernih membasahi pipi. Mungkin sudah tiba masanya aku memikirkan tentang orak langkah percaturan masa depan aku. Aku juga seperti wanita normal yang lain punya hati dan perasaan yang ingin dikasih dan mengasihi seseorang yang halal buat aku, namun masih belum aku bertemu peneman yang bakal mengisi kesunyian itu. Mungkin aku tidaklah selembut wanita lain, tidaklah secantik Zulaika, tidak juga sepemurah Khadijah, tidak sepintar Si Merah Aisyah dan tidak juga setegar Fatimah. Mungkin kerana itu aku tidak layak dimiliki oleh mana-mana teruna. Aku juga tidaklah sesempurna wanita lain. Aku dibesarkan di dalam keluarga yang sederhana serba-serbi. Ibu ayah aku telah lama bercerai, dibesarkan tanpa secebis kasih seorang insan bernama ayah. Hermmm mengeluh panjang aku dibuatnya apabila mengenang lakaran kanvas kehidupan aku. Adakalanya terdetik juga harapan untuk melihat keluarga yang retak ini bertaut kembali, namun segala pengharapan itu telah aku kuburkan pada pengharapan tanpa bernisan buat seseorang yang selayaknya menjadi teraju keluarga namun bagi aku, bukan dia selayaknya yang aku panggil ayah. Apa yang ada, hanyalah sekeping hati yang meraung minta dibebaskan daripada belenggu ini.
Tekadang nasib aku lebih buruk daripada si yatim yang langsung tiada siapa di dunia ini. Ya, mungkin Allah kurniakan aku dengan seorang ibu yang penyayang, memahami, pemurah dan kuat bekerja bagi memastikan aku berjaya sehingga ke tahap ini. Tetapi itu semua sudah tiada lagi di dalam hidup aku. Aku sunyi, aku rindu ibu aku yang dulu. Perawakan sederhana, penyabar dan menjadi pendengar setia disetiap ngomelan aku. Kasihnya yang dulu hanya dicurahkan buat aku satu-satunya anak tunggal hasil perkahwinannya namun kini makin sirna. Jika dahulu, akulah segalanya di dalam hidupnya. Tetapi kini aku harus berkongsi kasih dengan insan yang bukan darah dagingnya. Ya Allah berat sungguh dugaanMu, adakalanya aku rasa diri aku ini langsung tidak memberikan apa-apa buatnya. Adakalanya rasa bersalah dan rendah diri menerpa tanpa diundang. Manakan tidak, sehingga saat ini aku masih lagi tidak dapat membalas jasanya, memberikan hadiah mewah kepadanya, menghantarnya ke Makkah segalanya tiada pada aku. Segala apa yang dicita-citakan dan segala yang dia impikan hanya mampu terealisasi apabila dia bersama anak angkat kesayangannya. “Aku ini siapa? Mungkinkah aku tidak diingini di dalam hidupnya? Mungkinkah kelahiran aku hanya mengingatkan dirinya pada kenangan bersama bekas suaminya? Hodohkah aku sehingga ibu aku malu punya anak seperti aku?”
Bertubi-tubi persoalan yang berlegar dibenak fikiran yang akhirnya mengundang keresahan, kegundahan dan mainan resah dijiwa. Mujur Allah kurniakan aku dengan dua insan yang aku fikirkan layak aku panggil dengan gelaran abah dan pak. Allah kurniakan aku dengan Abah Sufian tak dilupa Pak Khairul sebagai tempat ku bergantung harap dan menumpang kasih, tetapi sampai bila? Sanggup aku korbankan perasaan sayang sebagai anak kepada kedua insan yang banyak berjasa, membimbing aku mengenal Allah dan diri dalam mendamba cinta illahi yang hanya aku kecapi manisnya nikmat IMAN dan ISLAM pada umur aku 23 tahun. Segalanya aku sembunyikan demi menjaga hati dan perasaan ibu aku. Takut-takut ibu tersinggung dengan tindakan aku yang sentiasa melebihkan mereka, namun aku silap. Akhirnya, aku yang terdampar sepi sendiri. Kini usia aku hampir menjangkau 27 tahun. Kesekian kalinya Allah menguji aku dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan, namun aku redha menjalani sistem tarbiyyah yang telah ditetapkan demi bergraduasi dengan cemerlang diakhirat kelak. Puas aku ke sana ke mari mencari hala tuju yang pasti namun bertemu buntu, Ya Allah aku mohon kau permudahkanlah.
Tidak cukup dengan itu, aku cukup tertekan apabila berada di rumah. Aku bingung memikirkan mengapa aku berasa begitu, sedangkan orang lain selesa hidup bersama keluarga namu berlainan bagi aku. Aku lebih suka hidup berjauhan daripada keluarga dan aku lebih suka hidup di alam aku sendiri. Aku lebih gemar bekarya, menulis puisi, menulis lirik dan mengarang bagi aku biarlah karya aku tidak di iktiraf namun ianya sudah cukup membuktikan bahawasanya aku juga mampu bekarya seperti teman-teman aku yang lain. Aku puas walaupun aku tidak dikenali. Aku sunyi, tiada teman untuk berbicara, tiada tempat untuk meluahkan sengsara dan aku rindu saat indah di alam kampus aku. Adakalanya aku suka berlawak bodoh dikalangan ahli keluarga, aku terpaksa memperbodohkan serta memperjudikan maruah aku semata-mata meraih sedikit perhatian daripada sanak-saudara agar kehadiran aku di sedari. Namun aku gagal, mungkin tiada gunanya aku lagi di dalam keluarga ini. Aku bukannya anak saudara yang menjadi kegemaran, aku tidak sepintar sepupu aku yang lain yang kini mungkin lebih jauh berjaya, cantik, bergaya dan punyai segala yang diimpikan setiap manusia lain. Sedihnya perjalanan hidup aku. Mujur masih ada sahabat yang menjadi tonggak kekuatan biar walau dari kejauhan namun masih dapat aku rasa ukhuwahnya. Biarlah mereka membenci aku, tetapi bagi aku mereka merupakan kurniaan pada aku. Biarlah walau hanya sedetik pertemuan namun ianya suatu pemberian yang tiada tara gantinya.
“Mak kenapa kau hukum aku begini?” aku bertambah bingung apabila ibu aku sentiasa melebihkan anak angkatnya di dalam setiap hal. Mungkin mak dah tak sayang aku agaknya. Sudah tiba masanya aku berpaut pada lelaki yang bakal bergelar zauj aku. Tapi layakkah aku? Terkadang aku terpukul dengan sepotong ayat yang pernah dilemparkan oleh seorang lelaki kepada aku, “Apa? Kau nak kahwin? Eish, memang malanglah siapa yang suka kat kau.” Ada juga yang menyatakan aku ini kasar, garang dan macam-macam perumpaan dan gelaran yang menyebabkan aku rasa aku ini lebih rendah makamnya daripada hamba abdi. Bertitik tolak daripada ayat dan peristiwa itu aku sedar bahawasanya hidup aku ini gelap dan kelam. Aku tidak layak untuk semua itu. Mungkin ini merupakan hukuman di atas dosa silam aku. Aku tidaklah sejahat mana cumanya mungkin aku yang menjadi pilihan bagi menanggung sagala kedukaan ini. Tidak pernah aku rasakan apa itu kasih sayang, apa itu cinta dan apa itu kebahagiaan daripada insan yang akrab dengan aku.
Aku tau, Allah tidak zalim tetapi aku yang selalu menzalimi diri. Pernah juga aku menaruh harapan kepada seseorang yang aku fikir mampu menjadi zauj yang terbaik buat aku, namun semuanya tidak direstui oleh ibu aku, hermmm tak mengapalah. Mungkin aku masih lagi keanak-anakan walau usia hampir menerpa ke usia tengah hari. Akhirnya aku masih lagi ditahap ini, manakala mereka sudah punya keluarga bahagia dan jelas mereka mampu menjadi teraju keluarga yang baik. Mungkin aku bukan yang terbaik buat mereka. Ya Allah, bantulah aku keluar dari belenggu keluh-kesah ini. Serabut dan kusut adakalanya aku rasa aku hanya diperlukan bila mereka sakit, sedih dan mungkin aku hanya sesuai diketengahkan pada saat-saat itu. Bila mereka senang, aku pun tak dipandanhnya, manakan tidak aku mempunyai bentuk badan yang obes, raut wajah yang biasa sahaja dan tidak layak mendampingi sesiapa.
Adakalanya, aku merasakan linangan air mata aku begitu murah. Mudah sangat aku tewas dengan mainan dunia. Namun aku tidak mampu lagi bermain dengan permainan yang sering menguji emosi aku. Sedari kecil, aku di besarkan dengan kaedah reverse psychology. Terkadang terdetik juga rasa dengki di dalam hati apabila melihat generasi seterusnya tidak lagi dimarah, ditempik, diperkotak-katik,dibanding bezakan pencapaian. Aku tidak pernah merasakan pujian daripada keluarga aku andai aku mendapat pencapaian cemerlang. Cuma yang ada hanyalah ungkapan yang berbentuk sindiran, cacian dan makian. Jadinya, aku terpaksa memperoleh gred cemerlang bagi memastikan repotasi aku tidak tergugat namun segala anadaian itu meleset sekali. Aku tetap sampah dimata keluarga. Jiwa aku kosong, aku yatim kini walau masih beribu bapa. Tiada siapa yang memahami aku, tiada siapa yang sudi mendengar keluh kesah aku dan tiada apa lagi yang mampu mengukir suka diriak wajah aku. Semuanya telah terkubur rapi di kuburan tanpa nisan.
Kecewa aku dibuatnya, penghijrahan aku menjadi bualan hangat. “Eh, kenapa tiba-tiba je berubah tu? Dulu dialah orangnya, sekarang berkelubung bagai? Dah insaf ke dia?” Apalah dosa aku sampai ada yang membuat konklusi aku berubah kerana ingin meraih simpati, ikutkan sangat pinta sahabat karib aku. Salah ke andai aku berubah untuk mendekatkan diri kepada cinta agung ayang kekal abadi? Salah ke aku berubah kepada sekadar menutup kulit kepada menutup aurat mengikut syariat? Bangsat sangat ke aku ni? Beristifar panjang aku dibuatnya apabila memikirkan segala tomahan yang tiba bagaikan linangan sungai yang deras. Dulu aku punya seorang insan yang aku anggap sebagai seorang kakak, namun semuanya hanya pinjaman. Hubungan akrab kami hancur akibat fitnah yang tersebar luas semasa aku masih di kampus. Aku dituduh gila kuasa, menunujuk belang dan pelbagai tomahan dan andaian yang akhirnya menyebabkan aku mengalah dan aku berundur pergi daripada kamus hidupnya di sekitar tahun 2007 dan ianya merupakan noktah buat segalanya. Ya Allah mengapalah aku diuji sebegini berat?
Kini aku masih lagi tersadai di rumah, menanti perkhabaran yang tidak pasti. Ingin sahaja aku mengorbankan seluruh hayat aku pada sebuah badan NGO namun tetap dihalang oleh keluarga. Entah sampai bila agaknya aku dibenarkan membuat keputusan sendiri dan mengecap kebebasan yang masih lagi mengikut lunas syarian islam agaknya? Ataupun hidup aku hanyalah ibarat sebuah alat teknologi moden yang telah diaturcarakan segalanya? Mungkin aku ini terlalu memendam dan diakhirnya memakan diri sendiri. Aku masih lagi berteka-teki, apakah nilai sebuah tangisan. Apakah rintihan aku didengar? Apakah aku layak untuk setiap yang aku miliki? Sehingga kini aku masih lagi mengembara dalam mencari jawapan disetiap permasalahan. Ingin aku lari daripada masalah namun mengundang sia. Apa akan jadi pada nasib aku? Mungkin akan meminggir sendiri dan menyisih sepi? Mungkin zahirnya dan fizikalnya aku nampak gembira dan kuat menempuh dugaan tetapi batinnya aku ini ibarat orang yang sudah mati, tidak punya apa-apa. Kegembiraan aku telah direntap oleh manusia yang kejam dan zalim. Tapi kenapa kau rentap kebahagian hidup aku yang senipis kulit bawang itu? Kenapa ibu aku yang kau pilih? Bukankah ramai lagi wanita yang bergelar ibu diluar sana? Kau punya mak, ayah dan adik-beradik yang lain sedangkan aku tidak berkesempatan untuk memiliki kesemuanya. Aku terus termanggu di sini mengenang apa lagi yang bakal kau buat selepas ini.
Cukup-cukuplah kau menyeksa aku wahai manusia yang kejam. Sehinggakan aku rasa tergugat dengan sikap tamak kau. Aku ingin lari namun tidak berdaya. Setiap masalah pasti ada penyelesaian. Aku berharap agar Allah berikan aku pengakhiran yang menyenangkan. Tak mengapalah andai aku tidak punya insan bergelar zauj di dunia yang hanya aku harapkan hanyalah wildan di syurga. Tak mengapalah kau seksa aku di dunia, aku yakin percaturan Allah itu Maha Adil.

0 ulasan: