THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, January 6, 2011

AKU YANG TERLUKA

“Ya Allah Ya TuhanKu, Hanya kau yang mengetahui segala rahsia diri Ku ini, Sesungguhnya aku tidak mampu menggalas amanah mu sendiri lagi, Ya Allah sungguh getir ujian Mu Ya Allah, kau uji aku dengan hilangnya kasih seorang ibu dan ayah walau pada hakikatnya mereka masih bernyawa. Apakah aku ini bukan zuriat mereka yang sah? Aku mohon pada Mu Ya Allah kau bantulah aku dalam mengharungi sisa hidup hambaMu ini.”

Air mata berlinangan menjadi peneman dikala lembaran diari 2010M diselak satu persatu. Sedetik gembira tidak langsung tercatit, yang ada hanyalah duka, caci dan gundah. Kini, usia ku mencecah 27 tahun. Sahabat seusia ku sudah punya keluarga sendiri, punya kerjaya sendiri, punya segala-galanya yang dicita dan dicipta. Tapi aku, masih lagi terkapai-kapai mencari ruang untuk mencipta peluang. Tiada siapa yang bersama ku, segalanya harus dilakukan sendiri. Jika dahulu aku punya seorang ibu yang sungguh memahami dan menemani aku kemana sahaja aku. Walau apa yang berlaku dia merupakan peneguh langkah ku, walau apa musibah yang menimpa dia merupakan pakar motivasi ku yang akan menerangkan hikmah disebalik kejadian. Namun kini tidak lagi, ibuku benci dengan ku. Segalanya yang manis bertukar menjadi memori kelam. Kasih ibuku telah dirampas oleh seseorang yang dulunya ku anggap sahabat tetapi dihujungnya dia merupakan racun dan musuh ketatku. Dialah pemusnah segalanya. Apakah tidak cukup kesengsaraan yang harus aku lalui selama ini? Sudahlah aku dibesarkan tanpa kasih seorang ayah, ditinggal tanpa sebarang nafkah bahkan nak menjenguk jauh sekali. Mengapa aku? Mungkin Allah sayang padaku, setiap kali bertemu Allah pastinya air mata ini mudah gugur ke persada pengharapan.

Mujur ada teman yang sudi membantu, memberikan inspirasi tetapi sampai bila? Sampai bila aku harus berkongsi suka dan duka bersama mereka? Mungkin suatu ketika mereka juga muak dengan ceritaku. Apakah selama ini kehadiran aku di dunia ini hanya meraih simpati sesama insan? Buntu aku memikirnya. Semakin hari semakin banyak perkara yang menyelinap masuk kedalam akal dan hatiku. Tak tertanggung lagi rasanya tekanan yang aku hadapi. Mungkin aku juga akan menjadi sebahagian daripada penghuni Tanjung Rambutan? Tidak tahu lagi pada siapa ingin ku curahkan segala permasalahan yang ku alami ini. Adakalanya ingin sahaja aku bawa diri ini jauh dari Malaysia, mungkin menjadi seorang perantau adalah lebih baik daripada duduk di dalam sangkar emas yang penuh penyeksaan. Aku memasak keazaman ingin menyambung pelajaranku di Universiti Al-Azhar namun layakkah aku? Seluruh keluargaku tidak langsung menyokongku. Pernah juga aku menyuarakan untuk menyambung pengajianku diperingkat Sarjana dibidang Kejuruteraan namun tiada timbang balas inikan pula diperingkat Diploma Usuluddin lagilah jauh sekali.

Ingin juga aku merasakan kasihnya seorang yang halal buatku, namun layakkah aku? Dimana aku ingin mencari waliku? Mungkin dia juga lupa bahawa dia pernah mempunyai anak yang tidak pernah dicurahkan kasih dan bertanggungjawab segalanya. Itulah puncanya mengapa aku takut dengan insan yang bernama lelaki. Aku ada menaruh hati kepada seseorang namun aku pendam jauh disudut hatiku dan akhirnya aku terpaksa melemparkan jauh perasaan itu pada sang teruna apabila suatu hari ibuku menghamburkan perkataan yang menyebabkan hatinya terguris. Mungkin sehingga akhir hayatku, aku tetap begini. Menelan segala pahitnya hempedu dalam meneruskan sisa umur yang tidaklah sepanjang mana ini. Mungkin esok aku bakal dijemput untuk beristirehat buat selamanya sebelum dihitung di Mahsyar yang abadi. Siapa tahu? Mungkin selepas kepergianku ke sana barulah senang hati ibu dan ayahku. Tidak perlu lagi memikirkan status aku di dalam hidup mereka. Ah, selama ini pun ibu ayah tak pernah peduli.

Aku buntu…menghitung sisa umurku. Mungkinkah aku sempat bertemu zaujku di dunia ataupun hanya menanti wildan disyurga?Atau….moga Allah menetapkan yang terbaik buat ku…

0 ulasan: