THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, September 10, 2009

PULANGKAN SYAWALKU, APA YANG KAU TAHU

Ku lemparkan pandangan ku jauh nun di sana. Masih lagi ku berteleku di muka pintu. Masih lagi mengharap pada yang tidak pasti. Aku bingung memikirkan apa yang telah ditentukan buat kami sekeluarga. Sudah 25 tahun aku menanti dan terus menanti moga ini adalah Syawal ku yang terakhir diselubungi duka. Namun jangkaan ku meleset sama sekali. Aku tetap lagi mengharap dan merayu pada yang tidak pasti. Apa tidak cukup kau menyeksa batin ibu yang selama ini memerah keringat membanting tulang demi mencari sesuap nasi? Apa kau lupa akan tanggungjawab mu sebagai seorang ayah kepada anak mu ini? Apakah kelahiran ku dahulu banyak mengundang sengsara buat kalian? Ya Allah apalah dosaku sehingga kini dia tidak pernah menjengah kami? Sehingga kini aku masih lagi berteka-teki apakah aku ini bukan darah daging kalian? Akhirnya aku terus merintih tanpa ku sedar linangan manik berjujuran gugur membasahi pipi.

Wajarkah aku memanggilmu ayah? Sedangkan aku tidak pernah mengenali mu, wajarkah kau yang mewalikan ku sedangkan selama ini kau tidak pernah melunaskan tanggungjawab mu? Aku sedar tanpa setitis air mani mu tak mungkin aku berada di dunia ini dengan izin yang maha kuasa. Namun apa dosa ku, sehinggakan aku tidak dapat merasakan kehadiran Syawal yang mulia seperti apa yang mereka rasa? Apakah aku perlu meratap dengan ketentuan yang telah ditetapkan? Aku terus melayan perasaan ku sendiri, ingin di luah pada abang dan kakak malang sekali aku tidak ada semuanya kerana aku adalah satu-satunya zuriat mereka yang sewajarnya mereka tatang dan pimpin bagi menjadi muslimah yang ada nilai mukminnya. Ayah kemana kau? Teganya kau meninggalkan kami tanpa sebarang nafkah dan sedikit ehsan dari mu? Tika kini, aku masih lagi tidak mengenali mu. Bagaimana aku ingin merindui mu sedangkan wajah mu tidak sekalipun pernah ku tatap, belaian mesra kasih seorang ayah jauh sekali dapat ku rasa.

Benci ku terhadap lelaki semakin membuak sehinggakan aku merasakan aku tidak layak menyayangi mana-mana lelaki dan adakalanya aku merasakan pintu hati ku tertutup mati dalam mencari pemilik hati yang bakal memimpin ku mencari redha mu Ya Allah. Aku masih lagi bingung memikirkan masa depan ku, gusar memikirkan nasib keturunan ku, apakah mereka juga akan merasakan keperitan yang aku lalui. Ya, peritnya hidup tanpa setitik kasih seorang insan bernama ayah. Aku benci kamu. Walau aku anak mu adakalanya aku terpaksa memadamkan rasa rindu ku terhadap mu dan aku lemparkan rasa itu jauh dari lubuk hati ku. Terpaksa aku tanamkan memori hitam ku di kuburan tanpa nisan bersama nama mu wahai ayah ku. Aku jijik memanggil panggilan itu. Namun aku tetap mengharap kau pasti bertandang dalam hidup ku walau sedetik cuma.

Kembara si musafir cinta tidak terhenti di sini, aku terus berkelana mencari cinta saudara seislam yang sudi menggantikan tempat mu. Biar aku bukan darah daging mereka namun aku berasa puas setidaknya dapat juga aku merasakan kasih seorang ayah yang aku tidak pernah aku dambakan selama ini. Kehadiran Abah Pian dan Pak Khairul bagaikan kurnia dari Allah yang tiada tolok banding nikmatnya. Mereka banyak memberikan dorongan dan galakan bagi ku terus menongkah cita-cita ku. Namun masih belum berpenghujung lagi pencarian kasih ku. Terlintas di benak ku berapa lama lagi aku harus memperhambakan diri ku dalam mencari kasih seorang bapa? Hmmmm…Allah maha mengetahui. Beristighfar panjang aku di buatnya seolah-olah menidakkan apa yang telah tercatat di Luh-Mahfudz.

Aku bingkas bangun daripada kesedihan ku. Jika aku teruskan kembara emosi ku mungkin aku tidak mungkin mampu untuk terus hidup. Terkenang kenangan ku bersama saudara semusafir ku. Pertemuan kami amat unik, aku menamakan mereka dengan Saudara Musafir Ilmu kerana mereka juga seperti ku mencari sejalur cahaya dalam mencari redha Allah dunia akhirat. Mec, Muk, Mus, Hisyam, Fendi, Samsul, Anis Hadi, Suma, dan Farahin mereka inilah penawar di kala duka penghibur di kala sepi dan penyejuk di kala sukar. Alhamdulillah walau aku dilahirkan dengan beribu kekurangan namun aku masih lagi di kurniakan seribu nikmat dan kebahagiaan, syukur alhamdulillah. Aku lebih mengenali mereka daripada saudara ku sendiri. Walau kami daripada rumpun yang sama namun amat sukar mencari titik persefahaman. Namun sesama Saudara Musafir Ilmu segalanya dipermudahkan Allah. Mungkin atas dasar cinta berpaksikan ukhuwah dan di sulami rasa kasih berpantaskan Ukhuwahfillah Abadan Abada’. Allahhuakbar besar sungguh kurniaan mu terhadap hamba mu yang adakalanya lalai di pentas mu. Apa khabar mereka di sana? Moga Syawal memberikan seribu kenikmatan buat mereka. Aku tidak mahu mereka merasakan apa yang aku rasa. Aku tidak mahu mereka menitiskan air mata kesayuan apabila mengetahui siapa aku sebenarnya. Syawal nan suci aku tidak mampu lari dari ketetapan yang telah ditentukan buat ku. Aku tidak perlu memikirkan kemana destinasi raya ku, persalinan hari raya, pertemuan dengan saudara ku segala-galanya kerana aku tidak ada seesiapa lagi.

Kehadiran ku juga tidak pernah di rasakan oleh keluarga sebelah ibu ku kerana aku bukanlah anak saudara kesayangan mereka. Aku ada atau tidak, tidak memberi impak kepada mereka. Kehadiran ku seperti tidak di nanti. Perubahan ku juga adakalanya menjadi perbualan mereka. Amat sukar perjalanan ku mencari redha mu Ya Allah. Mengapa aku di uji apa yang tidak mampu aku galas Ya Allah? Syawal bertandang lagi, aku masih lagi mencari pemilik hati ku yang pasti. Walau ku tahu jawapannya, Allah pemilik yang pasti. Subhanallah….kenapa aku ni? Syawal perlu di isi dengan penuh keriangan, kesyukuran dan kemenangan namun aku lemas dalam kesedihan ku.

Pulanglah wahai insan yang bergelar Ketua Keluarga, biar kini kau tidak mempunyai ikatan dengan bekas isteri mu namun kau masih lagi perlu melunaskan tanggungjwab mu sebagai seorang ayah kepada anak mu. Bukan sekadar nafkah dalam bentuk material yang aku mahukan namun aku perlukan setitis kasih dari seorang ayah yang bisa memadamkan segaris luka yang adakalanya memarah dan bakal mengundang bencana. Hati ku ini sudah lama bernanah umpama barah yang menanti ajalnya. Tidak mengapa jika kau jijik mengaku aku ini anak mu tetapi kau lunaskan tanggungjawab mu, kerana aku tidak sanggup urusan mu bertemu Rabbuizzati tertunda kerana kealpaan mu dalam melaksanakan tanggungjawab mu terhadap ku. Pulangkanalah kegembiraan Sinar Syawal kepada ku biar hanya sedetik, biar hanya sesaat agar aku dapat mengenali mu. Aku tetap menanti selagi aku masih lagi bernyawa dan aku pasti kau sudah lupakan ku namun aku masih lagi berharap dan terus berharap.

0 ulasan: