THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, May 6, 2009

JOM DAKWAH

Melaksanakan dakwah adalah satu tuntutan agama. Tanpa diteruskan usaha dakwah menyebabkan Islam semakin terpinggir dan tidak dihayati di kalangan penganutnya.

Usaha dakwah perlu dipertingkatkan bagi menghalang penyebar agama lain mencuri penganut Islam. Selain itu dakyah yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam perlu diperjelaskan bagi mengelak umat Islam diperdaya.

Dakwah dari segi bahasa bererti menyeru atau mengajak kepada sesuatu. Manakala menurut istilah, dakwah bermakna menggalakkan masyarakat berbuat kebaikan dan mengikut petunjuk, menyeru mereka membuat kebajikan dan melarang mereka daripada kemungkaran.

Kepentingan usaha dakwah sebagai nadi memperkasakan iman dan takwa di kalangan orang Islam sendiri dan sebagai petunjuk yang membawa orang bukan Islam berminat terhadap Islam.



Rasulullah melakukan dakwah berterusan secara ikhlas, bijaksana dan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjinakkan masyarakat Arab jahiliah di Makkah untuk menghayati Islam. Sedangkan sebelum itu masyarakat Arab jahiliah begitu berpegang kuat kepada kepercayaan datuk moyang dan sanggup berbunuh-bunuhan demi mempertahankan kepercayaan itu.

Kejayaan dakwah Rasulullah bergantung kepada tiga kaedah yang dilakukan iaitu secara lisan (bil lisan), tulisan (bil kitabah) dan contoh amal baik (bil hal). Rasulullah menggunakan kaedah itu mengikut kesesuaian sama ada dengan mana-mana satu cara atau gabungan ketiga-tiganya.

Kaedah lisan dilakukan apabila Rasulullah menyampaikan dakwah secara berdepan dengan sasaran yang dituju.

Kaedah lisan berkesan kerana ia adalah cara berkomunikasi paling meluas dan mudah dilakukan. Selain mulut, manusia juga menggunakan bahasa isyarat dan bahasa badan (gaya dan tindakbalas badan) untuk berkomunikasi, tetapi agak terbatas.

Seruan dakwah perlu dilakukan secara komunikasi berkesan, yakni meliputi segenap aspek yang boleh menarik orang apa yang disampaikan itu. Untuk melahirkan komunikasi berkesan memerlukan kebijaksanaan pendakwah bagaimana menguasai keadaan.

Dengan itu amatlah perlu setiap pendakwah mempelajari selok belok teknik atau metode (uslub) berdakwah. Cara berdakwah ada seninya. Silap pendekatan berdakwah menyebabkan golongan sasaran semakin menjauhkan diri.

Hakikatnya, tugas dakwah perlu dilakukan oleh orang yang mempunyai kefahaman dalam tugas dakwah. Paling penting orang itu sendiri adalah orang yang terpimpin peribadi dan ilmunya. Inilah yang dikatakan dakwah bil hal (dengan amal soleh) seperti yang dilakukan oleh Rasulullah.

Rasulullah menunjukkan contoh tauladan terbaik dalam kehidupan seharian. Rasulullah digelarkan al-amin yang bermaksud mempunyai peribadi mulia, amanah dan disukai semua orang.

Konsep komunikasi berkesan amat penting diamalkan ketika berdakwah. Komunikasi berkesan bermaksud, seseorang yang memperkatakan sesuatu yang benar; pada masa yang tepat dan dengan cara yang sesuai untuk didengari dan difahami bagi menghasilkan tindakbalas yang dihajati.

Firman Allah bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad). Inilah jalanku (agamaku). Aku dan orang yang mengikutiku, menyeru manusia kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang nyata. (Surah Yusof, ayat 108).

Pendakwah perlu mendalami tugas-tugas berdakwah. Memperkatakan sesuatu yang benar adalah kejayaan dakwah. Dakwah mengajak ke jalan kebenaran, sudah tentu bertentangan jika dilakukan dengan perkara-perkara tidak benar. Menyatakan perkataan benar merupakan satu perintah yang perlu dipatuhi setiap Muslim.

Firman Allah bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan benar. (Surah al-Ahzab, ayat 70).

Berkata perkataan benar dan tepat memerlukan kepakaran. Seorang pendakwah perlu bijak dan mahir dalam apa yang diperkatakan. Bagaimanapun, seseorang tidak dihalang daripada menyampaikan apa-apa diketahui biarpun sedikit.

Sabda Rasulullah bermaksud: Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat. (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi).

Hadis itu memerintahkan agar setiap Muslim menyebarkan dakwah biarpun hanya ringkas. Pengetahuan yang sedikit jika ditambah sedikit-sedikit akan banyak juga akhirnya.

Bentuk komunikasi berkesan juga mengambil kira keberkesanan penerimaan. Pendakwah perlu menilai tahap penerimaan orang didakwah. Setiap orang mempunyai tahap penerimaan dan kefahaman berbeza-beza.

Sebab itu pendakwah perlu mengetahui sasaran dakwah tersebut. Berbicaralah mengikut tahap apa yang mampu diterima oleh orang ditujukan dakwah itu. Fikirkan apakah yang sepatutnya disampaikan, bukannya apa yang ingin disampaikan.

Sabda Rasulullah bermaksud: Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing. (Hadis riwayat Muslim).

Seorang pendakwah adalah contoh kepada orang didakwah. Justeru, apa yang disebarkan oleh pendakwah perlulah menepati apa yang diamalkan. Pendakwah yang gagal menunjukkan contoh tauladan tidak akan menghasilkan tindakbalas yang dihajati. Hal ini tidak menepati konsep komunikasi berkesan.

Allah amat murka kepada mereka melakukan sesuatu tidak sama seperti dikatakan. Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (Surah ash-Shaff, ayat 2-3).

Dakwah Rasulullah mendapat perhatian dan ikutan para sahabat kerana apa diperkatakan Baginda terlebih dahulu dilakukannya. Apa yang dilakukan Rasulullah tidak sedikitpun bertentangan dengan apa yang diucapkan. Setiap apa diucapkan dan dilakukan Rasulullah merupakan contoh tauladan yang baik.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari kiamat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu.

Pendakwah juga perlu bijak dalam mengendalikan bantahan ketika berdakwah. Pendakwah tidak boleh terlalu mendesak. Orang didakwah mungkin memerlukan masa yang lama sebelum dapat menerima hakikat apa yang didakwahkan kepdanya.

Firman Allah bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka dengan baik. Tuhan tahu siapa yang menyimpang dari jalan Allah dan siapa yang berjalan menurut perintah-Nya. (Surah an-Nahl, ayat 125).

Setiap sesi perbincangan perlu dalam situasi kondusif, harmonis, positif dan saling menghormati. Ketika perbincangan mesti berpegang kepada adab al-ikhtilaf (etika perselisihan pendapat) agar yang kusut tidak bertambah kusut.

Bantah membantah bukan cara terbaik ketika berdakwah. Cara itu akan menimbulkan suasana tegang dan mungkin berterusan dengan keadaan tidak diingini. Keadaan itu hendaklah dihentikan segera dan carilah pendektan lain.

Firman Allah bermaksud: Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang baik, kecuali dengan orang zalim dalam kalangan mereka. (Surah al-Ankabut, ayat 46).

Manakala itu hadis diriwayatkan Tabrani bermaksud: Tinggalkan perbantahan kerana perbantahan tidak akan mendatangkan hikmah dan tidak akan mengamankan daripada fitnah.

Menggunakan perkataan yang baik, berbudi bahasa dan menghormati pihak yang didakwah adalah satu pendekatan yang baik. Pendakwah perlu sentisa berlapang dada dan tidak berdendam. biarpun golongan yang didakwah itu agak biadab dan keras.

Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33 memberi panduan bagi mereka ingin melakukan kerja-kerja dakwah yang bermaksud: Dan siapakah yang lebih baik perkatannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.



Percakapan dengan nada keras dan menekan agar orang didakwah menerima secara bulat-bulat apa diperkatakan adalah antara faktor kegagalan dakwah. Pendakwah perlu berhemah dan tidak gelojoh menjalankan kerja-kerja dakwah.

Tugas dakwah secara mutlaknya terletak di atas bahu setiap Muslim. Tugas ini bukan sekadar menjadi tugas guru agama, ustaz, imam dan pendakwah sepenuh masa. Islam mementingkan amalan menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah bermaksud: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah. (Surah Ali Imran, ayat 110).

Mencegah kemugkaran dilakukan berdasarkan kepada tahap-tahap keupayaan masing-masing. Justeru, jangan keterlaluan dalam mencapai matlamat. Bersabar dalam dakwah merupakan sifat Rasulullah ketika melakukannya pada awal menyebar syiar Islam di kota Makkah.

Sabda Rasulullah bermaksud: Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran dia hendaklah mengubahnya dengan tanganya, jika tidak mampu (berbuat demikian) hendaklah mengubahnya dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu, hendaklah mengubahnya dengan hatinya dan yang demikian itu adalah iman yang paling rendah. (Hadis riwayat Muslim).

Pendakwah sejati hanya mengharapkan keredaan Allah di atas tugas-tugas dilakukan. Dia menyebarkan kebenaran kepada orang lain dan melakukan kebenaran itu untuk dirinya sendiri.

0 ulasan: