Sebagai
seorang guru adakalanya kita sering keliru adakah peranan kita hanya sekadar
mengajar seperti apa yang telah ditetapkan atau melaksanakan lebih daripada apa
yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan tanpa mengira tentang bayaran yang bakal
diterima dan ganjaran anugerah yang bakal dikalungkan. Istilah mengajar dan
mendidik mungkin boleh disifatkan sama namun natijahnya apabila dikupas
intipatinya tidak sama.
Mengajar
adalah hanya melaksanakan tugasan seperti yang ditetapkan dan mengikut sukatan
pelajaran yang telah ditetapkan. Akhirnya kita hanya akan melahirkan seorang
pelajar yang hanya menghafal tanpa memahami konteks ilmu yang ingin kita
sampaikan. Mengajar disifatkan hanya menyampaikan ilmu secara fakta tanpa
menganalisis mahupun mengkaji sesuatu fakta seterusnya mengaitkannya dengan
keadaan semasa serta persekitaran di sesebuah tempat. Apabila keadaan ini
berlaku, maka lahirlah golongan pelajar yang hanya cemerlang di dalam akademik
namun gagal mengaplikasikan ilmunya di dalam kehidupan seharian. Kita gagal
melahirkan modal insan yang sering dilaung-laungkan dan apakah dengan cara ini
kita dapat melahirkan golongan intelektual yang betul-betul mampu menganalisis
dan memahami sesuatu isu serta menangani permasalahan itu dengan ilmiah dan
berhikmah? Maka implikasi daripada situasi tersebut bakal lahirlah golongan
yang hanya menurut membuta tuli tanpa memikirkan impaknya untuk jangkamasa
panjang.
Berbanding
dengan pendidik, golongan ini amatlah sukar dicari kerana golongan ini
merupakan insan yang bekerja lebih untuk memastikan pelajar menjadi manusia
yang berguna bukan hanya dalam konteks ilmu tetapi mampu berperanan sepenuhnya
dalam proses sumbangsaran idea baru dalam meningkatkan lagi kualiti kehidupan
individu mahupun masyarakat. Pendidik bukan sekadar mengajar namun dalam masa
yang sama mampu menjadi motivator yang berjaya. Golongan ini sentiasa dekat di
hati pelajar keran meraka memandang pelajar sebagai amanah dan tanggungjawab.
Pelajar lebih gemar mendekati guru-guru sebegini kerana bagi mereka golongan
seperti ini mampu memahami mereka dan lebih mudah didekati. Guru sebagai
sahabat bukan sebagai musuh. Namun, sebagai guru walaupun kita menganggap anak
murid kita sebagai sahabat namun kita seharusnya mengingatkan pelajar bahawa
mereka seharusnya mengamalkan adab seorang pelajar terhadap guru. Walaupun
akrab namun perlu ada batasan kerana profesyen perguruaan bukan profesyen yang
boleh dianggap enteng. Akhirnya, apabila pelajar dididik dengan sempurna akan
lahirlah golongan intelektual yang bijak mencatur kehidupan, membangun kesatuan
ummah dan berperanan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan kualiti nilai
komuniti.
Pendidik
dan pengajar merupakan dua kata kerja yang berbeza peranannya. Oleh yang
demikian seharusnya sebagai seorang guru seharusnya kita berusaha mendidik
generasi pelapis negara agar menjadi aset bernilai untuk pembangunan negara.
0 ulasan:
Post a Comment